AHMAD Faizal Azumu (dua kiri) menyampaikan Anugerah Khas Sukarelawan kepada Nermesh Singh (tengah) pada Program Hari Kesukarelawanan Belia Malaysia 2021 (HKBM2021) di Pusat Konvensyen Casuarina Meru hari ini. FOTO Bernama
AHMAD Faizal Azumu (dua kiri) menyampaikan Anugerah Khas Sukarelawan kepada Nermesh Singh (tengah) pada Program Hari Kesukarelawanan Belia Malaysia 2021 (HKBM2021) di Pusat Konvensyen Casuarina Meru hari ini. FOTO Bernama
Balqis Jazimah Zahari
am@hmetro.com.my


Ipoh: ''Mungkin persiapan sudah dibuat dan pemain berada di tahap yang terbaik, namun bola itu bulat.''

Demikian pandangan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berhubung skuad Harimau Malaya yang bakal berentap dalam Piala AFF 2020 di Singapura bertemu Kemboja, esok.

Sambil mengambil contoh kemenangan tidak diduga pasukan KL City FC yang muncul juara ketika menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) baru-baru ini, beliau yakin sebarang kemungkinan boleh berlaku.

''Setiap kali saya berpendirian pasukan kita sudah bersedia. Namun dalam sukan bola sepak ini kita pernah tengok di pertandingan akhir Piala Malaysia antara JDT-KL City.

''Semua orang kata JDT akan menang besar, namun akhirnya KL City berjaya merangkul kejuaraan.

''Begitu juga dengan pasukan bola sepak negara kita, mungkin persiapan dibuat dan pemain berada di tahap yang terbaik namun bola itu bulat, apa juga boleh berlaku,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir merasmikan dan menyampaikan anugerah pada Sambutan Hari Kesukarelawanan Belia Malaysia 2021 Peringkat Kebangsaan di Hotel Casuarina Meru di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Khairul Shahril Mohamed.

Beliau berharap penyokong dapat memberi sokongan kepada pasukan bola sepak negara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Disember 2021 @ 8:38 PM