ARIF Aiman ketika beraksi pada final Piala Malaysia bertemu KL City. FOTO Aizuddin Saad
ARIF Aiman ketika beraksi pada final Piala Malaysia bertemu KL City. FOTO Aizuddin Saad
Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: "Saya nak pesan, jangan 'enjoy' sangat dan kena bijak kenal diri supaya prestasi tidak menurun dan hilang sentuhan."

Itu nasihat dan pesanan bekas pemain kebangsaan, Khalid Ali buat bintang muda Johor Darul Ta'zim (JDT), Arif Aiman Hanapi yang dinobatkan selaku Pemain Paling Bernilai (MVP) dalam majlis Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2021 (ABK21) semalam.

Meskipun tidak menyebut secara terperinci bentuk 'enjoy' yang dimaksudkan, Khalid sebenarnya mahu pemain sayap lincah berusia 19 tahun itu tidak terperangkap dengan kemashyuran dan populariti yang mungkin akan menjatuhkan kariernya.

Kekayaan dan kehadiran wanita jelita atau dalam bahasa laman sosial masa kini, 'cengey' dilihat boleh menghanyutkan Arif sekali gus beri impak negatif kepada prestasinya.

"Tahniah saya ucapkan kepaad Arif. Saya ada melihat dia bermain, sememangnya budak ini berbakat dan ada potensi untuk pergi lebih jauh.

"Tapi dalam usia muda ini dia sudah capai tahap tertinggi, sudah tentu akan banyak dugaan yang akan datang. Dia kena pandai kawal diri dan jangan cepat terpengaruh dengan perkara-perkara yang bukan-bukan.

"Selaku pemain profesional dia boleh 'enjoy' tetapi jangan sampai hanyut dan lupa tentang kariernya. Ramai orang akan dekat dengan dia, jadi Arif perlukan bimbingan yang betul agar dia tidak jatuh.

"Dia boleh tengok contoh-contoh pemain senior di depan dia, dulu pun menang MVP tapi selepas itu sentuhannya hilang. Inilah benda yang Arif kena ambil dan ingat baik-baik," katanya kepada Arena Metro.

Semalam, Arif melengkapkan musim gemilangnya apabila dinobatkan selaku pemenang MVP dalam majlis ABK21 yang diadakan secara virtual itu.

Paling menarik, pemain berusia 19 tahun itu melakar sejarah menjadi pemain paling muda merangkul anugerah utama itu selepas rakan sepasukannya, Safawi Rasid, melakukannya pada 2018 ketika usia 21 tahun.

Arif, yang menjadi antara watak penting JDT menjulang trofi kelapan Liga Super musim ini selain Piala Sumbangsih turut mengungguli Anugerah Penyerang Terbaik dan Anugerah Pemain Muda Terbaik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Disember 2021 @ 6:06 PM