PRESTASI semasa Rashford jelas membuatkan Evra berasa kecewa. FOTO AFP
PRESTASI semasa Rashford jelas membuatkan Evra berasa kecewa. FOTO AFP
Agensi

London: Patrice Evra mahu pengendali sementara baru Manchester United, Ralf Rangnick 'kejutkan' Marcus Rashford dan mengakui bahawa beliau kecewa dengan bintang antarabangsa England itu.

Evra, yang meraih lima kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Liga Juara-Juara di Old Trafford, berasa kecewa dengan persembahan Rashford pada aksi separuh masa pertama ketika mereka mengalahkan Arsenal 3-2.

Rangnick ketika itu hanya berada di tempat duduk penonton dan bakal mengambil alih pasukan esok, manakala Michael Carrick mengendalikan pasukan buat kali terakhir selepas mengumumkan akan meninggalkan kelab berkenaan.

Evra percaya Rangnick di bawa masuk untuk menyedarkan beberapa pemain di atas prestasi buruk mereka di bawah kendalian Ole Gunnar Solskjaer dan pengendali Jerman itu perlu bermula dengan Rashford.

Selepas terlepas aksi awal musim berikutan masalah kecederaan, Rashford bergelut untuk menghasilkan sesuatu yang terbaik dalam bola sepak buat The Red Devils, termasuk gagal menjaringkan gol dalam enam penampilan terakhir.

"Saya mahu pemain seperti Rashford lebih banyak beraksi ke bahagian depan. Saya tidak tahu kenapa dia asyik menghantar bola ke belakang.

"Dia kelihatan mula berasa kecewa. Kita bercakap mengenai Rangnick dan beliau hadir ke sini untuk 'kejutkan' pemain. Pemain pertama secara berterus-terang adalah Rashford," katanya.

Evra berasa sedikit lega dengan prestasi Rashford di separuh masa kedua yang berjaya melakukan hantaran untuk Cristiano Ronaldo meledak gol ke-800 dalam kariernya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Disember 2021 @ 12:52 PM