TUNKU Ismail mengakui JDT akan mula berbelanja semula kerana kami sudah dicabar. FOTO Ihsan Johor Southern Tigers
TUNKU Ismail mengakui JDT akan mula berbelanja semula kerana kami sudah dicabar. FOTO Ihsan Johor Southern Tigers
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: "Saya baru ingat hendak berehat dari bola sepak tahun hadapan tetapi apa yang berlaku membuatkan saya tidak jadi berehat.

"Seperti yang saya pernah katakan, a wounded Tiger is always eager to bounce back (harimau yang cedera sentiasa bersemangat untuk bangkit semula)."

Demikian tekad pemilik kelab Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mahu memastikan JDT kembali meraih lebih banyak kejayaan selepas ini susulan kegagalan mempertahankan Piala Malaysia apabila tewas 0-2 kepada Kuala Lumpur City FC (KL City) di pentas final, Selasa lalu.

Jelas Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ), faktor terlalu selesa dan yakin menyebabkan JDT mengalami kegagalan itu namun menegaskan kelab itu akan kembali berbelanja semula.

"Saya ingin mengambil kesempatan untuk berkongsi perkembangan kelab dan juga beberapa maklumat yang lain. Maklumlah orang jarang kalah ini, sekali sekala bila kalah jadi rajin pula buat kerja.

"Ada hikmah di sebaliknya, bagus juga ada wake-up call. Buat apa pun jikalau Allah tidak mengizinkan, rezeki tersebut bukan kita punya.

"Saya rasa untuk tiga musim terakhir ini, kami menjadi terlalu selesa, terlalu yakin dan kami tidak mengeluarkan belanja untuk skuad. Tetapi kini selepas apa yang terjadi, kami akan mula berbelanja semula kerana kami sudah dicabar," katanya menerusi satu kenyataan di laman sosial kelab.

Jelas Tunku Ismail, kekalahan itu menjadikan JDT lebih bermotivasi untuk bertanding pada tahun hadapan selain menganggap ia sesuatu yang positif untuk kelab itu.

"Kami akan menjadi lebih obses untuk memperbaiki kesilapan kami dan menguatkan lagi pasukan ini.

"Kami akan menjalani latihan pramusim di Dubai dan Abu Dhabi untuk bermain dengan beberapa kelab tempatan di sana dan juga kelab-kelab Eropah untuk persiapan kami.

"Ada beberapa pemain akan dikekalkan, ada yang akan dipinjamkan keluar dan ada pemain yang akan dilepaskan. Pengarah Teknikal JDT akan membuat pengumuman kepada penyokong dengan lebih mendalam lagi nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Disember 2021 @ 1:05 PM