CRISTIANO Ronaldo. FOTO AFP
CRISTIANO Ronaldo. FOTO AFP
Agensi

London: Cristiano Ronaldo secara terbuka menyokong dakwaan daripada halaman peminat bahawa Lionel Messi merampas kemenangan Ballon d'Or daripada dirinya dan Robert Lewandowski.

Messi yang juga bintang PSG, memenangi anugerah berprestij itu buat kali ketujuh menewaskan sensasi Bayern Munich, Lewandowski dengan kelebihan 33 undian.

Ronaldo, pemenang lima kali anugerah itu, berada di kedudukan keenam dan ketinggalan 435 undian di belakang Messi.

Penyerang Manchester United itu mencemuh kemenangan seteru utamanya dari Argentina itu apabila menulis 'fakta' di bawah status halaman peminat di media sosial.

Halaman itu memperincikan mengapa kapten Portugal itu layak memenangi anugerah berkenaan berbanding Messi.

Status yang ditulis di akaun peminat bernama 'Cristiano Ronaldo - The Legendary' yang mana Ronaldo sendiri mengikuti halaman itu, memperincikan pencapaian Ronaldo pada 2021 sebelum menggambarkan kemenangan Messi sebagai amat memalukan.

"Mereka yang bijak tahu siapa yang berhak memenanginya. Menerima anugerah tanpa berhak untuk memenanginya bukanlah satu kebanggaan," tulis status di halaman itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Disember 2021 @ 10:29 PM