GERAI pakaian Uda di pekarangan Stadium Nasional.
GERAI pakaian Uda di pekarangan Stadium Nasional.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Kehadiran penjaja di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil memeriahkan lagi perlawanan akhir Piala Malaysia membabitkan Johor Darul Ta'zim (JDT) menentang Kuala Lumpur City FC malam ini.

Walaupun kali ini kehadiran penyokong hanya kira-kira 20,000 orang namun rata-rata penjaja tetap gagah berniaga bagi melepaskan gian masing-masing selepas hampir dua tahun tidak dibenarkan berbuat demikian.

Peniaga pakaian dikenali sebagai Uda yang aktif berniaga di pekarangan stadium sejak lima tahun lalu berkata, dia sememangnya menunggu peluang untuk berniaga di kawasan berkenaan bagi menghangatkan lagi final Piala Malaysia.

Uda yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan berkata, dia tidak mengharapkan keuntungan semata-mata namun cukup dapat menjadi sebahagian daripada individu yang memeriahkan perlawanan terbabit.

"Nak cakap tak untung adalah juga namun saya tak pernah terlepas untuk berada di stadium ini setiap kali berlangsungnya perlawanan bola sepak. Alhamdulillah, lepas juga gian saya untuk bersama dengan penyokong terutama menyaksikan JDT dan Kuala Lumpur berentap pada hari ini," katanya.

Sementara itu, peniaga makanan Azman Rasul berkata, walaupun jualannya agak berkurangan berikutan prosedur operasi standard (SOP) tidak membenarkan makanan dan minuman dibawa ke dalam stadium namun tetap akur bagi memastikan tiada penularan Covid-19.

"Selalunya saya sediakan pelbagai makanan termasuk kuih dan nasi namun kali ini hanya jual minuman serta makanan ringan saja. Paling penting adalah dapat kembali berniaga di pekarangan stadium kerana tak lengkap jika tiada peniaga di venue berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 November 2021 @ 7:10 PM