Pemain KL City meraikan kejayaan mara ke final Piala Malaysia. FOTO KL City
Pemain KL City meraikan kejayaan mara ke final Piala Malaysia. FOTO KL City
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kejayaan melangkah ke pentas final Piala Malaysia selepas 32 tahun menandakan pasukan Kuala Lumpur City FC (KL City) kini di laluan tepat untuk kembali muncul sebagai pasukan handalan tanah air.

Pernah mengecapi zaman kegemilangan pada lewat era 80an dengan memenangi hatrik Piala Malaysia dari 1987, 1988 dan 1989 adalah antara pencapaian cemerlang skuad Warga Kota itu.

Jelas Naib Presiden 1 Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Syed Yazid Syed Omar, menerusi projek pembangunan yang dirangka sejak 2017 lalu, pasukan itu kini boleh berbangga apabila hampir tujuh pemain muda berjaya diserapkan ke skuad utama yang menjadi tunjang kekuatan KL City.

"Kita memang mahu kembalikan zaman kegemilangan KL seperti dulu dan kejayaan ke final adalah permulaan yang baik.

"KL berjaya muncul juara Liga Perdana 2017 dan kemudian beraksi pula di Liga Super. Pada musim ini pula, kita berjaya langkah ke final Piala Malaysia dan ini menunjukkan yang pasukan di landasan yang betul.

"Kita harap dapat muncul pencabar utama kejuaraan untuk musim-musim mendatang dengan sasaran berada dalam kelompok tiga teratas liga selepas ini," katanya yang juga Ahli Lembaga Pengarah KL City.

Skuad kendalian Bojan Hodak tampil cukup ampuh sepanjang musim ini apabila tidak pernah tewas di halaman sendiri, baik dalam kempen Liga Super mahupun saingan Piala Malaysia.

"Saya boleh katakan, pasukan ini sudah matang sekarang dan dicampur pemain-pemain yang di bawa Hodak, ia berjaya buah hasil hingga KL masuk final," katanya yang juga Exco FAM.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 November 2021 @ 2:41 PM