Ahmad Faizal (dua kiri) diiringi isteri menyempurnakan simbolik perasmian di Majlis Program Derma Darah Perak Foodbank. FOTO Shahrul Hafiz Zam
Ahmad Faizal (dua kiri) diiringi isteri menyempurnakan simbolik perasmian di Majlis Program Derma Darah Perak Foodbank. FOTO Shahrul Hafiz Zam
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bersumpah menafikan dirinya mempunyai kaitan dengan pengambilalihan Perak FC oleh sebuah syarikat pengiklanan, Impact Media & Communication (IMC) Sdn Bhd seperti yang didakwa warganet di media sosial.

Ahmad Faizal yang juga bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) mengungkapkan lafaz sumpah sewaktu ditanya pemberita mengenainya.

"Wallahi, Wabillahi, Watallahi, saya tidak ada kena mengena dengan syarikat yang mengambil alih Perak FC.

"Namun sudah tentu, saya dan seluruh penyokong bola sepak Perak akan beri sokongan berterusan.

"Jadi jagalah pasukan ini dengan baik dan lakukan perkara yang betul demi kepentingan pasukan. Rakyat dan penyokong bola sepak negeri ini mempunyai harapan besar melihat pasukan berjaya dan menjadi satu kuasa bola sepak besar di dalam negara," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Derma Darah Perak Food Bank bersama Kiwanis Jelapang di Dewan Serbaguna Kampung Tersusun Tawas Tambahan di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Food Bank Perak, Datin Seri Dr Nomee Ashikin Mohamed Radzi.

Selasa minggu lalu, PAFA mengumumkan IMC sebagai pemilik baharu Perak FC selepas 100 peratus pegangan saham badan induk itu dijual kepada syarikat berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 November 2021 @ 8:14 PM