FARIZAL Marlias. FOTO Nur Aisyah Mazalan
FARIZAL Marlias. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Kapten Johor Darul Ta'zim (JDT), Farizal Marlias berazam untuk bermain bermati-matian bagi memastikan skuad Harimau Selatan mengekalkan kejuaraan Piala Malaysia yang dimenangi pada musim 2019 buat kali kedua-dua berturut-turut.

Bagi Farizal, peluang tetap ada tapi perlu berwaspada dengan penampilan berbeza Kuala Lumpur City FC (KL City FC) apabila kedua-dua pasukan itu membuat perhitungan terakhir piala berprestij edisi ke-100 di Stadium Bukit Jalil, Selasa ini.

"Syukur Alhamdullilah kita mencapai apa yang kita sasarkan iaitu beraksi di pentas final Piala Malaysia malah gembira dengan komitmen rakan sepasukan yang bertungkus lumus memastikan perjalanan ke Bukit Jalli tidak terhenti selepas beraksi dengan 10 pemain menentang Terengganu FC.

"Final nanti kami berdepan pasukan bekas jurulatih JDT yang kini bersama KL City FC dan pastinya ia menarik kerana Bojan (Hodak) tahu serba sikit mengenai pemain JDT tapi kami juga tahu kekuatan pasukan lawan dan 90 minit perlawanan kelak bakal menyajikan aksi mendebarkan.

"Kami di JDT mengambil pendekatan setiap perlawanan yang diharungi adalah penting tidak kira pasukan itu kuat atau lemah, kami tetap menghormati mereka dan aksi final kali ini lebih menarik kerana pada musim lalu saingan piala berprestij tidak dapat dilangsungkan akibat pandemik Covid-19," katanya.

Farizal juga mengakui saingan Piala Malaysia sememangnya begitu padat tatkala bukan sahaja mengharungi saingan Liga Suiper malah bersaing dalam kancah Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan kemudian bersambung pula aksi Piala Malaysia semenangnya memberi cabaran buat JDT pada musim ini.

Namun, beliau menegaskan kelebihan JDT memiliki fasiliti bertaraf kelas dunia membolehkan pemain melalui proses pemulihan dengan lebih tersusun mengikut jadual yang dirancang dan ia beri impak positif terhadap pemain untuk kembali berada di tahap kecergasan yang memuaskan.

Ditanya mengenai final Piala Malaysia, secara peribadi pemain kelahiran Maran, Pahang itu, mahu menambah koleksi pingat kejuaraan Piala Malaysia buat kali ketiga selepas pertama kali memenangi piala berprestij itu bersama Negeri Sembilan pada musim 2011.

"Final Piala Malaysia musim 2017 saya hanya sekadar menjadi penonton selepas di gantung oleh Konfederasi Bola sepak Asia (AFC) dan pada musim 2019 saya kembali beraksi dan menjulang kejuaraan piala itu dan kini buat kali kedua berturut-turut ke pentas final.

"Sudah tentu saya mahu tambah koleksi pingat kemenangan bukan sahaja buat diri sendir tapi untuk JDT kerana kami mahukan kejuaraan itu bagi menutup musim ini dengan gemilang malah aura final musim ini amat berbeza tatkala menentang KL City FC yang kali terakhir mara ke final sejak 32 tahun lalu," kata Farizal yang menganggap KL City FC sebuah pasukan yang mampu lakar kejutan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 November 2021 @ 11:31 AM