JURULATIH KL City FC, Bojan Hodak meraikan kejayaan pasukannya mara ke final Piala Malaysia. FOTO Syafeeq Ahmad
JURULATIH KL City FC, Bojan Hodak meraikan kejayaan pasukannya mara ke final Piala Malaysia. FOTO Syafeeq Ahmad
Oleh Nazri Abu Bakar


Melaka: Selepas mengecewakan Melaka United (MU) untuk mara ke final Piala Malaysia, jurulatih Kuala Lumpur City (KL City) Bojan Hodak mahu anak buahnya bermain dengan selesa ketika aksi berdepan Johor Darul Tazim (JDT) di pentas final Selasa ini.

Katanya, anak buahnya perlu menikmati final dengan gembira malah dia tidak akan memberi tekanan kepada pemain untuk beraksi dengan tenang bertemu pasukan Harimau Selatan walaupun menyedari reputasi skuad terbabit.

Menurutnya, hanya tinggal satu lagi sahaja perlawanan selepas mengharungi cabaran getir piala berprestij terbabit musim ini termasuk berdepan pada saingan separuh akhir kedua berdepan Melaka di Stadium Hang Jebat yang perlu dilalui sehingga penentuan sepakan awal pagi tadi.

Katanya, bermain di depan penyokong lawan dengan sorakan gegak gempita selepas sudah lama tidak kedengaran di stadium selama ini sememangnya perlawanan amat getir namun anak buahnya berjaya merealisasikan impian mara ke final .

Baginya, KL City bukan seperti pasukan JDT, Selangor dan Terengganu yang memperolehi sokongan berganda namun anak buahnya membuktikan mereka mampu melakukan yang terbaik.

"Kurang melakukan kesilapan dan tampil bukan pada aksi sebenar, namun nasib menyebelahi kami atas usaha gigih pemain untuk bertindak cemerlang sehingga penentuan penalti.

"Saya rasa kami sebenarnya mendapat keuntungan lebih baik daripada Melaka. Walaupun pada asasnya peluang buat kedua-dua pasukan 50-50 namun akhirnya tuah menyebelahi kami," katanya.

Baginya, dia mengakui saingan amat sukar dengan jadual padat dalam tempoh empat hari dengan kepenatan pemain, kecergasan dan kecederaan tetapi mereka memberi yang terbaik dengan karektor yang membanggakan untuk memenuhi impian pemain, pengurusan dan penyokong pasukan.

Apapun, dia juga menjangkakan aksi akan terheret ke masa tambahan dan penalti, justeru dia juga sudah melengkapkan latihan penalti dan mental pemain menjelang perlawanan membabitkan tujuh atau lapan pemain termasuk penjaga gol untuk bersedia melakukan sepakan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 November 2021 @ 1:11 PM