STERLING meraikan gol pembukaan City. FOTO EPA
STERLING meraikan gol pembukaan City. FOTO EPA
AFP

Manchester: Manchester City mencatat kemenangan meyakinkan apabila Raheem Sterling, Rodri dan Bernardo Silva berjaya meledak gol untuk menumpaskan Everton sekali gus merapatkan jurang kepada tiga mata dengan pendahulu liga, Chelsea.

"Secara keseluruhan kami berjaya mengawal permainan. Kami bermain dengan corak permainan yang sepatutnya untuk menumpaskan pasukan seperti Everton," kata pengendali City, Pep Guardiola.

Sterling meledak gol dalam penampilan yang ke-300 di Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas dia berjaya menyudahkan hantaran Joao Cancelo bagi meraih gol ke-98 di liga utama England itu.

Tanpa kehadiran Dominic Calvert Lewin di bahagian serangan, Everton jarang memberi ancaman kepada City.

Anak buah Rafael Benitez sekarang ini hanya dipisahkan dengan enam mata dari zon penyingkiran.

Rembatan jarak jauh Rodri 10 minit selepas rehat menamatkan pertarungan antara kedua-dua pasukan.

Sterling sepatutnya menambah gol kedua selepas menerima hantaran lintang Riyad Mahrez namun percubaannya berjaya diselamatkan rakan senegara dalam skuad England, Jordan Pickford tatkala dia cuba untuk memperdayakan penjaga gol itu.

City meraih gol ketiga lima minit sebelum perlawanan tamat apabila melakukan tindakan susulan selepas rembatan Cole Palmer dihalang pemain lawan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 November 2021 @ 8:15 AM