XAVI (kiri) puas selepas Barca berjaya mencatat kemenangan dalam penampilan pertamanya sebagai pengurus. FOTO AFP
XAVI (kiri) puas selepas Barca berjaya mencatat kemenangan dalam penampilan pertamanya sebagai pengurus. FOTO AFP
AFP

Barcelona: Xavi Hernandez memulakan tugas bersama Bercelona dengan kemenangan apabila jaringan penalti Memphis Depay sudah cukup untuk menumpaskan seteru setempat, Espanyol dalam saingan La Liga.

Jaringan Depay pada permulaan separuh masa kedua memastikan kepulangan Xavi ke Camp Nou dengan kemenangan, namun beliau menyedari akan kesukaran yang bakal ditempuhi.

Dua percubaan Raul de Tomas mengenai palang pada lewat permainan ketika Espanyol mensia-siakan peluang untuk mencatat keputusan seri.

Keputusan positif perlu segera diperoleh dan kemenangan ini membawa skuad kendalian Xavi daripada kedudukan kesembilan ke tangga keenam liga, enam mata di belakang Atletico Madrid yang memerlukan tandukan lewat Felipe bagi mencatat kemenangan 1-0 berdepan Osasuna.

"Mereka membuatkan kami begitu tertekan pada 15 minit terakhir. Kami sepatutnya mampu mencatat kemenangan 2-0 namun ia adalah kemenangan yang bagus untuk memulakan projek," kata Xavi.

Suasana juga berbeza di Camp Nou, dengan 74,418 penonton hadir bagi menyaksikan perlawanan berbanding 37,278 ketika Barca seri berdepan Alaves dua minggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 November 2021 @ 12:04 PM