KIMMICH didakwa sebagai kontak rapat dengan seseorang yang positif Covid-19. FOTO AFP
KIMMICH didakwa sebagai kontak rapat dengan seseorang yang positif Covid-19. FOTO AFP
AFP

Berlin: Pemain tengah Bayern Munich yang belum divaksin, Joshua Kimmich sekali lagi dikuarantin selepas dikesan sebagai kontak rapat dengan seseorang yang positif Covid-19 sekali gus menyaksikan dia sekurang-kurang akan terlepas dua perlawanan.

Pendahulu Bundesliga itu mengesahkan perkara berkenaan sehari selepas Kimmich terlepas sesi latihan, dengan pengendali, Julian Nagelsmann menyifatkan tindakan berkenaan sebagai langkah berjaga-jaga sebelum menentang Augsburg.

Kimmich, 26, baru saja tamat kuarantin Rabu lalu selepas sebagai kontak rapat dengan rakan sepasukan Bayern, Niklas Suele, yang didapati positif minggu lalu ketika tugas bersama pasukan Jerman.

Selain aksi menentang Augsburg, Kimmich juga akan terlepas perlawanan Liga Juara-Juara Rabu depan menentang Dynamo Kiev tatkala Bayern sudah pun melayakkan diri dalam kelompok 16 terakhir.

Kimmich, Serge Gnabry, Jamal Musiala dan Eric Maxim Choupo Moting dilaporkan antara pemain yang tidak mengambil vaksin dalam skuad Bayern.

Bayern sudah pun kehilangan Suele dan Josip Stanisic, di mana kedua-duanya lengkap divaksin tapi diuji positif Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 November 2021 @ 11:22 AM