Sean Eugene Selvaraj (tengah) dalam salah satu aksi Liga Malaysia. FOTO Selangor FC
Sean Eugene Selvaraj (tengah) dalam salah satu aksi Liga Malaysia. FOTO Selangor FC
Mohd Amin Jalil


Seremban: Bekas pemain Negeri Sembilan FC (NSFC), Sean Eugene Selvaraj mahu membuktikan kehadirannya bersama Selangor FC benar-benar memberi impak positif dalam membantu pasukan itu melakar kejayaan pada kempen Piala Malaysia musim ini.

Selepas membantu skuad berkenaan mara ke peringkat suku akhir, penyerang berusia 25 tahun itu mahu memastikan Selangor terus mara lebih jauh sehingga ke pentas final.

Sehubungan itu, dia kini bertekad untuk terus memperagakan aksi terbaik pada perlawanan suku akhir pertama menentang Kuala Lumpur (KL) City FC, di Stadium MBPJ, Ahad ini.

Dia akui perlu gandakan lagi kekuatan dalam pasukan itu kerana KL City adalah pasukan yang memiliki kelebihan tersendiri selepas mereka berjaya menunjukkan graf persembahan yang memberangsangkan pada saingan peringkat kumpulan.

"KL City menunjukkan graf persembahan yang baik pada saingan peringkat kumpulan Piala Malaysia dan kami perlu berhati-hati dengan strategi pasukan itu pada perlawanan suku akhir pertama, Ahad nanti.

"Kami perlu membuat persiapan lebih rapi dan walaupun bersaing dalam liga yang sama, tapi tidak boleh mengambil mudah kerana cabaran suku akhir berbeza dan setiap pasukan akan memberikan tentangan lebih hebat.

"Jika diberi peluang menggalas cabaran Ahad nanti, saya ingin menjaringkan gol dan seterusnya membantu Selangor mendapatkan kemenangan," kata Sean yang sudah menjaringkan dua gol dalam kempen Piala Malaysia setakat ini.

Menurut pemain berasal dari Port Dickson itu, reputasi Selangor selaku pasukan yang pernah menjulang kejuaraan merebut trofi berprestij sebanyak 33 kali perlu dipertahankan.

"Tugas ini memang mencabar, namun ia boleh diatasi dengan komitmen tinggi semua pemain dan fokus kami adalah untuk memastikan halangan KL City mampu diatasi untuk membawa pasukan ke peringkat separuh akhir.

Sean antara pemain muda yang berjaya dilahirkan menerusi program pembangunan bola sepak belia Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 November 2021 @ 3:06 PM