Pengendali Newcastle United yang baharu dilantik Eddie Howe bergambar bersama jersi pasukan di Stadium St James' Park. FOTO AFP
Pengendali Newcastle United yang baharu dilantik Eddie Howe bergambar bersama jersi pasukan di Stadium St James' Park. FOTO AFP
AFP

Newcastle, United Kingdom: Pengendali baharu Newcastle, Eddie Howe berkata dia boleh menangani jangkaan tinggi di kelab Liga Perdana itu selepas pengambilalihan oleh Arab Saudi ketika mereka akan berjuang bagi mengelak penyingkiran.

Howe menggantikan Steve Bruce di St James's Park yang meninggalkan kelab itu dengan persetujuan bersama pada Oktober, 13 hari selepas pemilikan kelab berubah.

Bekas bos Bournemouth berusia 43 tahun dilantik pada Isnin lalu dan mengendalikan sesi latihan pertamanya 24 jam kemudian.

Skuad Magpies, gagal mencatat kemenangan dalam tiga perlawanan di bawah kendalian jurulatih sementara Graeme Jones, berada di kelompok dua tercorot Liga Perdana selepas gagal menang dalam 11 perlawanan musim ini.

Aksi pertama Howe di laman sendiri adalah berdepan Brentford pada 20 November ini, sedar tekanan besar untuk mengeluarkan Newcastle daripada zon penyingkiran dan membina asas untuk kejayaan akan datang.

Sekalipun tidak pernah menguruskan kelab seperti Newcastle, dia berkata pengalamannya ketika membawa Bournemouth, dari divisyen empat ke Liga Perdana ketika dua kali mengendalikan kelab itu menjadi pengalaman berguna buatnya.

"Di Bournemouth kewujudan kelab itu akan terancam jika kami gagal - ia tekanan yang sangat besar," kata Howe pada sidang media pertama sebagai bos Newcastle.

"Ia berkaitan bola sepak menjalankan perniagaan. Saya dapat rasakan tekanan itu dan sudah terbiasa dengannya setiap hari. Ia pengajaran terbaik dalam tugas pertama.

Newcastle akan berdepan pencabar dalam kelompok penyingkiran Norwich dan Burnley peringkat awal di bawah kendalian Howe sebelum berdepan misi sukar menentang Liverpool, Manchester City dan Manchester United.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 November 2021 @ 8:01 AM