PENGANJURAN itu juga akan menarik minat lebih banyak penaja untuk bekerjasama sekali gus tidak mengharapkan perbelanjaan pihak tertentu. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
PENGANJURAN itu juga akan menarik minat lebih banyak penaja untuk bekerjasama sekali gus tidak mengharapkan perbelanjaan pihak tertentu. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak mahu menyerah kalah atau berputus asa dalam membida salah satu daripada 6 venue berpusat yang akan ditawarkan kepada 24 pasukan yang bertanding dalam saingan kelayakan Piala Asia 2023 pertengahan tahun depan.

Malah, Setiausaha Agung FAM Saifudddin Abu Bakar berkata, bidaan tuan rumah saingan kelayakan itu tetap akan diteruskan berikutan memberi banyak kelebihan dan kebaikan terutamanya dalam menjana pendapatan kepada pihak berkaitan selain turut merancakkan kembali industri bola sepak negara selepas mengharungi musim 'sendu'.

Saifuddin berkata, pihaknya dalam usaha menyiapkan kertas kerja termasuk melakukan perbincangan bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi merangka prosedur operasi standard (SOP) yang lebih sistematik bagi penganjuran saingan terbabit.

Katanya, penganjuran itu juga akan menarik minat lebih banyak penaja untuk bekerjasama sekali gus tidak mengharapkan perbelanjaan pihak tertentu untuk menganjurkan kejohanan terbabit.

"Kita tetap dengan perancangan untuk membida sebagai tuan rumah bagi saingan kelayakan itu kerana hasil daripada pemerhatian dan perbincangan banyak kelebihan diperoleh apabila ia berlangsung di Malaysia.

"Selain boleh menjana ekonomi, industri pelancongan juga turut berkembang apabila penyokong pasukan tertentu datang ke negara ini jika pintu sempadan sudah mula dibuka.

"Sudah pastinya pasukan kebangsaan akan mendapat suntikan semangat daripada penyokong sendiri dalam usaha melayakkan diri ke pusingan seterusnya kelak," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengesahkan bahawa perlawanan kelayakan Piala Asia 2023 akan diadakan secara berpusat dan semua perlawanan mengikut format 'single round robin'.

Pada masa sama, AFC juga memaklumkan bahawa perlawanan kelayakan akhir Piala Asia 2023 itu akan diadakan pada 3 tarikh yang ditetapkan iaitu 8,11 dan 14 Jun 2022 nanti namun venue perlawanan masih belum ditetapkan dan ia dibuka untuk bidaan kepada pasukan yang bersaing.

Namun begitu, FAM perlu mendapatkan 'lampu hijau' daripada pihak kerajaan sebelum menghantar bidaan rasmi kepada AFC.

Undian bagi menentukan kedudukan pasukan dalam kumpulan dijangka akan berlangsung sekitar bulan Februari 2022 dan kedudukan pasukan dalam balang undian juga akan menggunakan kedudukan ranking Persekutuan Bolasepak Dunia (Fifa) yang terkini sebelum majlis terbabit berlangsung.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 November 2021 @ 9:15 PM