ROBERTO Firmino meraikan kejayaan bersama rakan pasukan. -FOTO AFP
ROBERTO Firmino meraikan kejayaan bersama rakan pasukan. -FOTO AFP
Agensi

London: Penyerang Liverpool Roberto Firmino mungkin terpaksa direhatkan selama empat minggu kerana mengalami kecederaan hamstring.

Fimino, 30, yang menjaringkan empat gol dalam lapan perlawanan Liga Perdana musim ini, mengalami kecederaan ketika Liverpool mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas Atletico Madrid.

Pengurus pasukan Jurgen Klopp berkata tanpa penyerang Brazil itu akan menjadi satu tamparan buat pasukan.

"Ia mungkin mengambil masa seminggu atau mungkin lebih dari empat minggu. Saya akan menganggap itu kecederaan serius," kata pengendali Jerman itu.

Pemain tengah Curtis Jones dan pertahanan Joe Gomez akan turut diketepikan menjelang kunjungan ke West Ham esok.

"Curtis adalah cerita yang sama sekali berbeza (dengan Firmino)," kata Klopp.

"Dia sangat tidak bernasib baik ketika latihan - dia mengalami kecederaan pada matanya. Kita lihat nanti apa yang perlu dilakukan dan berapa lama masa yang diperlukan untuk pulih.

"Dia akan kembali selepas rehat antarabangsa, tapi kami perlu lihat bila dia boleh mula melakukan latihan semula.

"Manakala Joey, saya harap dia akan kembali okey selepas rehat antarabangsa ini."

Liverpool kini menduduki tangga kedua Liga Perdana, tiga mata di belakang pendahulu liga Chelsea. Selepas aksi esok, mereka tidak akan beraksi sehingga 20 November ini menentang Arsenal.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 November 2021 @ 8:52 AM