PERLAWANAN Tottenham menentang Vitesse dibayangi tiga kad merah. -FOTO EPA
PERLAWANAN Tottenham menentang Vitesse dibayangi tiga kad merah. -FOTO EPA
AFP

Paris: Antonio Conte memulakan kariernya sebagai pengendali Tottenham dengan kemenangan apabila menewaskan Vitesse Arnhem 3-2 dalam aksi Liga Konferens Europa dalam perlawanan yang turut menyaksikan tiga kad merah dilayangkan.

Selepas menyaksikan pasukannya mendahului tiga gol, kemudian lawan mula mengejar dan kehilangan seorang pemain manakala Vitesse kehilangan dua pemain, Conte berkata: "Ia perlawanan yang gila.

"Biasanya saya tidak suka perlawanan sebegini - perlawanan gila bermakna apa saja boleh berlaku. Tetapi pada masa sama, saya rasa kami patut menang dan kami menang.

"Kami mendahului 3-0 dan kemudian dibolosi dua kali yang sepatutnya boleh dielakkan. Selepas kad merah kami berdepan kesukaran. Menang dalam keadaan begini bagus untuk pasukan, pemain-pemain ini."

Spurs tidak melakukan sebarang percubaan ketika mereka tewas kepada Manchester United yang menyaksikan karier Nuno Espirito Santo ditamatkan hanya selepas empat bulan mengendalikan kelab itu.

Menentang Vitesse mereka melakukan dua percubaan tepat dalam 90 minit awal dan pengendali baharu dari Itali itu hanya perlu menunggu selama 14 minit untuk melihat gol pertama pasukannya menerusi Son Heung-min.

Kemudian Lucas Moura menyempurnakan hantaran lintang Harry Kane untuk menewaskan penjaga gol Vitesse, Markus Schubert dan gol ketiga Spurs hadir selepas percubaan Kane diheret Jacob Rasmussen ke dalam gawang sendiri.

Rasmussen menebus kesilapannya dengan menanduk masuk gol pertama Vitesse empat minit kemudian, diikuti jaringan Matus Bero.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 November 2021 @ 8:59 AM