DOMINIK Szoboszlai (tengah) mudah menyempurnakan penalti buat Leipzig. -FOTO AFP
DOMINIK Szoboszlai (tengah) mudah menyempurnakan penalti buat Leipzig. -FOTO AFP
AFP

Leipzig, Jerman: Dominik Szoboszlai menyempurnakan sepakan penalti pada masa kecederaan ketika RB Leipzig mencatatkan keputusan seri 2-2 menentang Paris Saint-Germain yang tampil tanpa tunggak utama, Lionel Messi dalam aksi Liga Juara-Juara.

PSG hampir mencatatkan kemenangan di tempat lawan apabila mendahului 2-1 selepas 90 minit di Leipzig ketika Georginio Wijnaldum meledakkan dua gol untuk menafikan gol awal Christopher Nkunku buat tuan rumah.

Ketika beraksi di masa tambahan, Leipzig dihadiahkan sepakan penalti apabila pertahanan PSG, Presnel Kimpembe mengasari Nkunku ketika melakukan hantaran lintang dan pemain gantian Szoboszlai mudah menyempurnakan penalti.

"Kami tidak bermula dengan baik tapi Leipzig melakukannya dan kami perlu kembali menguasai permainan," kata Wijnaldum.

"Kami mencipta banyak peluang pada babak kedua tapi banyak juga melepas bola.

"Kami perlu belajar daripada perlawanan ini kerana kami sudah mendahului 2-1 dan sepatutnya mengambil peluang itu. Banyak yang perlu diperbaiki."

Tanpa Messi yang terpaksa diketepikan, keputusan seri itu menyaksikan PSG terpaksa melepaskan kedudukan selaku pendahulu Kumpulan A dan meletakkan mereka di kedudukan kedua, satu mata di belakang pendahulu ketika ini, Manchester City yang membelasah Club Brugge 4-1.

PSG akan berdepan City di Manchester tiga minggu lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 November 2021 @ 10:56 AM