HADI Fayyadh mengakui program pembangunan yang dijalankan oleh Yakult Malaysia satu platform yang baik untuk mengetengahkan bakat muda di Malaysia. FOTO Ihsan Instagram hadifayyadhh
HADI Fayyadh mengakui program pembangunan yang dijalankan oleh Yakult Malaysia satu platform yang baik untuk mengetengahkan bakat muda di Malaysia. FOTO Ihsan Instagram hadifayyadhh
Bersama Hadi Fayyadh dari Jepun

Assalamualaikum dan Salam Hari Minggu buat semua. Di harap semua pembaca Metro Ahad berada dalam keadaan yang sihat bersama keluarga tersayang.

Pada minggu lalu saya ada menyentuh berkaitan perbezaan bola sepak Malaysia dan Jepun dan pembangunan bola sepak di Jepun dari pemerhatian saya di sini selama lebih kurang tiga tahun.

Untuk minggu ini, saya ingin kongsikan program-program pembangunan bola sepak yang pernah saya sertai bersama pihak Yakult Malaysia. Pada tahun 2019 yang lepas, saya bersama Yakult Malaysia mengadakan Klinik Bola Sepak Fagiano Okayama di 3 Zon berbeza (Majlis Sukan Negara,Kuala Lumpur, Stadium Hang Jebat, Melaka dan Stadium Negeri, Pulang Pinang).

Program ini juga mendapat sokongan daripada pihak Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP).

Selain itu juga, Yakult Malaysia menganjurkan Yakult Global Cup 2019 yang diadakan di seluruh Malaysia di mana pasukan yang menjadi juara iaitu pasukan dari Akademi Tunas Kota Setar, Kedah mewakili Malaysia ke Kejohanan Bola Sepak Piala Global J Green Sakai di Jepun.

Pasukan ini juga menjadi juara di sana, di mana mereka berjaya menewaskan kelab-kelab bola sepak profesional Jepun seperti Cerezo Osaka, Vissel Kobe, Fagiano Okayama, Tokushima Voltis serta kelab dari Thailand, Buriram FC.

Pada perlawanan akhir, mereka berjaya menewaskan pasukan Ventforet Kofu, sebuah kelab yang bermain di Liga Dua Jepun. Saya berpeluang berjumpa dan memberikan sokongan kepada pasukan ini sepanjang kejohanan itu berlangsung di Jepun.

Pada tahun yang sama juga diadakan program Asean Dream Project di mana lima orang pelatih dari Malaysia terpilih menyertai sesi latihan bersama kelab Cerezo Osoka di Jepun, bersama-sama 10 orang pelatih lagi dari Myanmar dan Thailand.

Saya berpeluang untuk bersama mereka di Osaka, Jepun dan memberikan nasihat kepada mereka tentang bagaimana untuk menjadi seorang pemain bola sepak yang baik.

Kesemua program pembangunan yang dijalankan oleh Yakult Malaysia ini satu platform yang baik untuk kita mengetengahkan bakat muda yang ada di Malaysia.

Bagaimanapun, oleh kerana pendemik yang melanda, program-program ini tidak dapat di adakan pada tahun 2020 dan 2021.

Saya berharap pihak Yakult Malaysia dapat meneruskan program ini pada tahun 2022. Akhir kata, saya ingin mengajak semua pembaca untuk kita sama-sama terus menyokong pembangunan bola sepak tempatan kerana merekalah yang akan mewarisi kemajuan bola sepak negara satu hari nanti.

Sekian sahaja dari saya di sini, di harapkan agar semua pembaca dapat menjaga diri dengan baik. Sehingga bertemu lagi pada penulisan akan datang. Sekian, terima kasih semua.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Oktober 2021 @ 10:34 PM