Muhammad Nur Azfar Fikri Azhar menjaringkan gol tunggal perlawanan kelayakan Piala Asia B-23. FOTO FAM
Muhammad Nur Azfar Fikri Azhar menjaringkan gol tunggal perlawanan kelayakan Piala Asia B-23. FOTO FAM
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Skuad bawah 23 (B-23) tahun negara meraih kemenangan kedua dalam Kumpulan J kempen Kelayakan Piala Asia B-23 selepas menundukkan Mongolia 1-0 di Stadium MFF, Ulaanbaatar di Mongolia, hari ini.

Kemenangan itu sekali gus menyaksikan skuad bimbingan Brad Maloney semakin mencerahkan peluang untuk layak secara automatik ke pusingan akhir Piala Asia B-23 2022 apabila memimpin Kumpulan J dengan mengumpul enam mata.

Skuad negara bagaimanapun boleh mengesahkan tempat ke pusingan akhir Piala Asia B-23 di Uzbekistan tahun depan lebih awal sekiranya aksi Laos dan Thailand, petang ini berkesudahan seri.

Tidak banyak cubaan berbahaya dilakukan oleh barisan pemain negara pada 20 minit pertama dengan jentera serangan buntu untuk melepasi pertahanan Mongolia.

Sebaliknya Mongolia kerap memberi ancaman terutamanya menerusi pemain tengah mereka, Ganbayar Ganbold namun dua rembatannya dari luar kotak penalti minit ke-17 dan 35 sedikit tersasar.

Skuad negara kembali memperkemaskan rentak permainan dan hampir memperoleh gol pertama tetapi tandukan penyerang negara, Muhammad Nur Azfar Fikri Azhar terkena palang gol minit ke-37.

Usaha anak buah Maloney akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-40 apabila kali ini Azfar berjaya memanfaatkan peluang dengan menanduk masuk bola berpunca daripada sepakan penjuru.

Ia adalah gol kedua pemain Terengganu FC II itu pada saingan kali ini selepas turut meledak gol tunggal ketika skuad negara menewaskan Laos 1-0 pada perlawanan pertama.

Bersambung babak kedua, skuad negara berpeluang menambah gol minit ke-56 namun rembatan terus Muhammad Mukhairi Ajmal ke arah gawang gol lawan berjaya didakap kemas penjaga gol, Batmagnai Sereekhuu.

Kapten skuad negara itu sekali lagi memperoleh peluang tetapi rembatannya minit ke-74 dari luar kotak penalti sekadar menggegar palang gol lawan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Oktober 2021 @ 1:20 PM