Pengendali JDT, Benjamin Mora mengambil sikap berwaspada berdepan Sabah FC di Stadium Likas, esok. FOTO Ihsan Johor Southern Tigers
Pengendali JDT, Benjamin Mora mengambil sikap berwaspada berdepan Sabah FC di Stadium Likas, esok. FOTO Ihsan Johor Southern Tigers
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Johor Darul Ta'zim (JDT) bersikap berwaspada dengan ancaman Sabah FC apabila kedua-dua pasukan bertembung bagi menyambung aksi Kumpulan D saingan Piala Malaysia di Stadium Likas, malam esok.

Bagi pengendali skuad Harimau Selatan, Benjamin Mora berkata Sabah FC yang kini dibimbing Datuk Ong Kim Swee bakal tampil dengan permainan berbeza dan pastinya akan mengundang keresahan tatkala tidak mengetahui dengan terperinci corak permainan yang bakal dipraktikkan bekas jurulatih Harimau Muda.

Katanya, walaupun JDT sudah mencipta dua kemenangan berturut-turut dan berada di tangga teratas namun barisan pemainnya tidak boleh terlalu selesa tatkala rehat yang panjang bagi memberi laluan jadual aksi persahabatan skuad Harimau Malaya dan harus tampil konsisten bagi mengekalkan momentum kemenangan.

"Kita turun di Likas dengan misi untuk meneruskan rentak kemenangan tapi tidak boleh terlalu ghairah cari tiga mata sebaliknya tetap turun dengan corak permainan berhati-hati dan waspada dengan ancaman pasukan Sabah FC.

"Saya tidak boleh jangkakan corak permainan yang bakal ditampilkan Sabah FC yang dibimbing Datuk Ong (Kim Swee) kerana ini perlawanan pertama saya berdepan jurulatih yang berpengalaman dan saya harap pemain JDT memberi sepenuh fokus untuk beraksi konsisten sepanjang 90 minit permainan.

"Ketika ini Sabah FC berada di kedudukan kedua Kumpulan D dan mereka pastinya mahu mengambil kesempatan memburu kemenangan tatkala beraksi di gelanggang mereka sendiri dan kami akan bersedia untuk berdepan pasukan itu," katanya.

Ditanya mengenai prestasi JDT yang hanya mampu menjaringkan tiga gol selepas mengharungi dua perlawanan, pengendali kelahiran Mexico itu tetap berpuas hati dengan kualiti permainan di posisi serangan walaupun pada aksi menentang Petaling Jaya City FC (PJ City FC), beliau tidak menyenaraikan Bergson Da Silva.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Oktober 2021 @ 12:57 PM