Pengendali Barcelona, Ronald Koeman (kanan) melihat aksi pemainnya dalam saingan La Liga. FOTO AFP
Pengendali Barcelona, Ronald Koeman (kanan) melihat aksi pemainnya dalam saingan La Liga. FOTO AFP
AFP

Madrid: Ronald Koeman dipecat sebagai jurulatih Barcelona, umum kelab itu awal pagi ini selepas kekalahan kepada Rayo Vallecano yang menyebabkan mereka berada di tangga kesembilan saingan La Liga.

Barca hanya menang dua daripada tujuh saingan terakhir liga di bawah kendalian Koeman, rentetan perlawanan yang menyaksikan mereka juga tewas kepada Real Madrid dalam aksi Clasico di Camp Nou, Ahad lalu.

Permulaan buruk di musim ini meningkatkan kemungkinan pasukan itu gagal layak ke Liga Juara-Juara musim depan seterusnya mendatangkan kesan besar terhadap situasi kewangan kelab yang sudah teruk.

Bekas pemain tengah Barcelona, Xavi Hernandez, yang kini mengendalikan kelab Qatar, Al Sadd serta pengendali River Plate, Marcel Gallardo dilaporkan antara calon untuk mengambil alih tugas itu.

Kenyataan kelab yang diumumkan selepas tengah malam di Sepanyol memaklumkan: "FC Barcelona memecat Ronald Koeman daripada jawatan jurulatih pasukan utama malam ini.

"Presiden kelab, Joan Laporta sudah memberitahunya selepas kekalahan kepada Rayo Vallecano. Ronald Koeman akan mengucapkan selamat tinggal buat skuadnya Khamis ini di Ciudad Deportiva.

"FC Barcelona merakamkan penghargaan di atas khidmatnya dan mengucapkan selamat maju jaya dalam kariernya."

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Oktober 2021 @ 7:13 AM