MALONEY (tiga dari kiri) memberi nasihat kepada pemain ketika sesi latihan. FOTO Facebook Football Association of Malaysia
MALONEY (tiga dari kiri) memberi nasihat kepada pemain ketika sesi latihan. FOTO Facebook Football Association of Malaysia
Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Berdepan Mongolia hari ini dalam perlawanan Kumpulan J kempen kelayakan Piala Asia B-23 di Stadium MFF, Ulaanbaatar bukan satu tugas mudah buat skuad bawah 23 (B-23) tahun negara kerana pasukan lawan bukan saja beraksi di gelanggang sendiri, malah mempunyai kelebihan dari segi fizikal.

Pengendali B-23 tahun negara, Brad Maloney berkata, mereka tetap akan fokus kepada perancangan asal tatkala bakal berdepan pasukan yang sangat baik terutama dari segi fizikal.

"Mereka mempunyai kelebihan dari segi fizikal dan lebih tersusun terutama dengan kehadiran pengendali dari Jepun. Selepas melihat aksi mereka dengan Thailand, saya dapat lihat mereka beraksi dengan mengerah segala tenaga yang ada, mempunyai keinginan tinggi untuk bangkit apabila seri perlawanan pertama," katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui jika anak buahnya kekal dengan perancangan yang sudah ditetapkan ia bukan mustahi untuk melepasi halangan tuan rumah.

"Mereka sudah pasti akan bangkit selepas seri pada perlawanan pertama. Saya rasa ia tidak akan menjadi masalah buat kami kalau kekal dengan perancangan dan corak permainan yang kami inginkan.

"Ia sangat menyenangkan apabila pemain berjaya meraih ganjaran di atas usaha mereka, sekali gus meraih tiga mata. Paling penting tiada yang cedera dan semua orang boleh diturunkan untuk aksi selepas ini," kata Maloney.

Jurulatih kelahiran Australia itu berkata, mereka mahu mengekalkan penguasaan dengan baik menjelang aksi berdepan Mongolia dan cuba untuk mempercepatkan gerakan bola.

"Kita tidak boleh membiarkan pemain lawan menghampiri dengan rapat, sekali gus mewujudkan pertarungan fizikal. Jika kami kekal bermain seperti itu, kami boleh mempamerkan corak seperti diharapkan. Saya yakin semuanya akan berjalan lancar esok (hari ini).

"Pertemuan dengan Mongolia ini sangat penting dan kami mahukan keputusan positif selepas itu baru memikirkan untuk aksi seterusnya berdepan Thailand," kata Maloney.

Ditanya mengenai Luqman Hakim Shamsudin yang dirantai rapi ketika pertemuan dengan Laos Isnin lalu, beliau mengakui pemain yang berpangkalan di Eropah itu mempunyai kualiti.

"Dia akan mencari jalan melepaskan diri. Sudah tentu semua penyerang hebat di dunia akan mendapat perhatian daripada pihak lawan. Tidak ada bezanya," katanya.

Pada aksi pertama menentang Laos menyaksikan penjaring terbanyak Kejuaraan AFC B-16 pada 2018 itu gagal mengatasi benteng pertahanan lawan.

Laos nyata tidak membenarkan Luqman bergerak bebas apabila sentiasa meletakkan dua pemain untuk merantai pergerakannya namun mujur Azfar Fikri Azhar tampil selaku penyelamat dengan meledak gol tunggal perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Oktober 2021 @ 7:00 AM