Pengurus Leicester City, Brendan Rodgers. FOTO AFP
Pengurus Leicester City, Brendan Rodgers. FOTO AFP
Agensi

London: Manchester United dilaporkan mengintai khidmat pengurus Leicester City, Brendan Rodgers sebagai calon pengganti Ole Gunnar Solskjaer.

Susulan kekalahan memalukan 0-5 Red Devils kepada Liverpool pada Ahad, tekanan pada pengendali dari Norway itu makin memuncak dan kelab berkenaan dilaporkan sedang mempertimbangkan beberapa senarai pilihan jika Solskjaer gagal mengubah nasib kelab itu.

Menurut laporan The Sun, mereka kini mengenal pasti Rodgers sebagai sasaran utama untuk mengambil alih tugas pengendali di Old Trafford.

Pengendali dari Utara Ireland dikatakan menyertai senarai pendek yang membabitkan Antonio Conte jurulatih yang memenangi kejuaraan pertama Serie A buat Inter Milan dalam tempoh 11 tahun musim lalu selain legenda Perancis, Zinedine Zidane yang memenangi tiga kejuaraan Liga Juara-Juara sebagai bos Los Blancos.

Selepas kekalahan Ahad lalu, Manchester United kini berada di tempat ketujuh dalam carta Liga Perdana Inggeris dan memungut hanya satu mata daripada empat perlawanan terakhir mereka.

Pengurusan kelab Red Devils dilaporkan berminat membawa masuk Rodgers yang membimbing Leicester City menamatkan saingan di tempat kelima dalam liga utama Inggeris serta memenangi Piala FA musim lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Oktober 2021 @ 9:35 AM