AHMAD Faizal   merasmikan Seminar Anti-Doping Kebangsaan 2021 di Hotel Tenera, Bangi.
AHMAD Faizal merasmikan Seminar Anti-Doping Kebangsaan 2021 di Hotel Tenera, Bangi.
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Hasrat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk membida menjadi tuan rumah pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2023 dilihat agak tipis.

Ini kerana, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, tumpuan kerajaan ketika ini adalah kepada usaha pemulihan ekonomi pasca pandemik yang memberi tumpuan kepada usaha membantu rakyat.

"Saya kira kalau satu kejohanan yang boleh memastikan kita dapat membawa sebilangan besar penonton ataupun mendatangkan hasil daripada pelancongan sukan, ia boleh difikirkan.

"Tetapi pada masa sama, saya kira buat masa ini kerajaan amat memberi fokus kepada pasca pandemik untuk menyelesaikan masalah ekonomi rakyat dan sebagainya.

"Apapun keputusan dibuat untuk keluarkan perbelanjaan begitu besar, tentunya Perdana Menteri ataupun Kabinet akan memastikan perbelanjaan itu terjurus kepada perkara yang lebih penting, iaitu ekonomi rakyat.

"Saya berminat untuk mendapatkannya (menganjurkan) tetapi kita perlu ikut keutamaan. Itu secara jujurnya," katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Anti-Doping Kebangsaan 2021, hari ini.

Setiausaha Agung FAM, Saifuddin Abu Bakar menerusi laporan sebelum ini berkata, badan induk itu bersedia merebut hak tuan rumah salah satu daripada enam venue yang akan ditawarkan kepada semua 24 pasukan di saingan itu nanti selepas Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) memutuskan format kelayakan secara berpusat.

Jelasnya, kelebihan beraksi di hadapan penyokong sendiri penting bagi memastikan sasaran untuk layak ke Piala Asia di China pada 2023 menjadi kenyataan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Oktober 2021 @ 9:54 PM