Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Semua pasukan Liga Malaysia (Liga M) digesa untuk mengambil dos ketiga Covid-19 bagi memastikan insiden membabitkan pasukan Negeri Sembilan FC tidak berulang.

Pemerhati bola sepak tempatan, Mohd Sadek Mustafa berkata, pengambilan dos penggalak itu penting bagi meningkatkan imunisasi setiap pemain sekali gus meminimumkan jangkitan dalam pasukan.

"Kita dapat lihat hampir keseluruhan pemain dan pegawai pasukan Negeri Sembilan dijangkiti Covid-19 dalam tempoh singkat. Apa yang berlaku itu sebenarnya kita boleh ambil ia sebagai pengajaran untuk memperbaiki sistem yang ada sekarang dan mungkin kalau terdesak pemain boleh ambil dos ketiga.

"Kita kena fahami, pemain ini juga terdedah dengan jangkitan yang boleh didapati daripada luar pasukan melalui sebaran udara. Jadi pengambilan dos penggalak amat baik bagi meningkatkan daya tahan setiap pemain agar ia tidak mudah dijangkiti virus terbabit sekali gus perjalanan Piala Malaysia tidak terganggu lagi," katanya.

Sebelum ini, arena bola sepak negara dikejutkan dengan pengesahan 20 pemain dan empat pegawai Negeri Sembilan FC dijangkiti Covid-19 hingga menyaksikan juara Liga Perdana itu terpaksa menarik diri daripada saingan Piala Malaysia.

Kes jangkitan itu adalah yang tertinggi membabitkan pasukan Liga Malaysia di mana sebelum ini pasukan Kedah Darul Aman FC dan Kuching City FC turut mengalami nasib sama apabila beberapa pemain disahkan positif.

Menurut Sadek, isu membabitkan skuad Hobin Jang Hobin ini perlu dikaji dan diteliti oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dengan menyemak semula prosedur operasi standard (SOP) untuk ditambah baik.

"Mungkin MFL dan pengurusan kelab Negeri Sembilan FC kena duduk berbincang dan tengok apa 'kebocoran' SOP yang berlaku di mana kaedah gelembung sukan diguna pakai.

"Dulu Kedah dan Kuching juga mencatatkan kes positif tetapi jumlah pemain yang terkena hanya dua hingga empat pemain sahaja. Tetapi pasukan Negeri Sembilan ini sampai 20 pemain, kira keseluruhan anggota pasukan disahkan positif.

"Jadi kes di Negeri Sembilan ini boleh dibuat bedah siasat dan hasilnya MFL boleh pertingkatkan dari segi SOP agar isu sama tidak berulang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Oktober 2021 @ 9:27 PM