DAMIEN penjaga gol utama NSFC.
DAMIEN penjaga gol utama NSFC.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Penjaga gol Negeri Sembilan FC (NSFC), Damien Lim enggan toleh ke belakang selepas pasukannya tidak lagi beraksi dalam baki saingan Piala Malaysia susulan kes positif Covid-19 dan mengambil iktibar atas apa yang berlaku.

Terdahulu, seramai 20 pemain dan empat pegawai Negeri Sembilan disahkan positif wabak Covid-19 menyaksikan skuad kendalian K Devan itu terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada saingan berprestij ini dan hanya sempat beraksi dua perlawanan sahaja dalam Kumpulan C.

Penjaga gol berusia 24 tahun itu mengakui terkilan atas apa yang menimpa pasukan namun menganggap nasi sudah menjadi bubur dan tiada guna untuk terus meratapi situasi itu kerana yang lebih penting sekarang adalah untuk kembali sihat seperti biasa.

"Saya sebenarnya masih terasa lagi apabila dapat tahu kami semua positif Covid-19, tetapi inilah kehidupan yang perlu ditempuh dan kami kena reda kerana yang penting sekarang adalah pasukan kena kembali sihat.

"Sebelum ini, saya memang demam selepas dah tahu positif, cuma sekarang hanya batuk sahaja dan deria rasa ada sedikit hilang kalau nak dibandingkan masa awal-awal hari itu, tetapi semuanya sudah bertambah baik.

"Semestinya saya akan ingat apa yang berlaku ini sebab rasanya kalau bukan pasal kami positif Covid-19, impian untuk ke suku akhir itu mesti ada dan saya percaya kita sebenarnya mampu untuk teruskan perjuangan ini, tetapi hidup kena diteruskan dan kena terus kuat untuk bersedia musim depan pula", katanya.

Negeri Sembilan sebelum ini menang ke atas Kelantan United FC dan tewas kepada Melaka United FC untuk berada di tangga ketiga Kumpulan C dengan tiga mata.

Meskipun tidak lagi akan beraksi, Damien tetap akan menyokong perjuangan pasukan-pasukan lain dalam baki saingan Piala Malaysia sebaik sahaja sembuh sepenuhnya.

"Saya akan saksikan semua perlawanan selepas ini untuk sokong pasukan-pasukan lain walaupun hakikatnya rasa ketinggalan kerana sepatutnya Negeri Sembilan juga turut beraksi, tetapi nak buat macam mana selepas kena ucapkan selamat tinggal lebih awal.

"Apa-apa pun saya akan berikan sokongan penuh kepada pasukan lain yang tetap akan beraksi dan dalam masa sama dapat belajar sedikit sebanyak daripada perlawanan mereka untuk kami bersedia bagi musim depan pula", tambahnya.

Pasukan Negeri Sembilan ketika ini masih menjalani kuarantin yang bermula 18 Oktober lalu sehingga 27 Oktober dan turut memutuskan untuk tidak meneruskan perlawanan dalam peringkat kumpulan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Oktober 2021 @ 6:41 PM