Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp meraikan kejayaan pasukannya. FOTO AFP
Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp meraikan kejayaan pasukannya. FOTO AFP
AFP

Manchester, United Kingdom: Jurgen Klopp menyifatkan kemenangan besar 5-0 ke atas Manchester United dapat memadamkan beberapa siri kekalahan Liverpool yang sering bermain di fikirannya.

Skuad kendalian Klopp menewaskan musuh tradisi mereka itu di Old Trafford hasil jaringan hatrik Mohamed Salah serta gol awal Naby Keita dan Diogo Jota.

Ia adalah kemenangan terbesar Liverpool di Old Trafford dan kejayaan paling hebat menentang United sejak tahun 1925.

"5-0, saya amat gembira, ia luar biasa. Cukup menakjubkan." kata Klopp.

"Saya mempunyai beberapa kekalahan dalam fikiran yang tidak sepatutnya berlaku tetapi kami menang hari ini dan ia perlu diraikan.

Liverpool belum tewas dalam 22 perlawanan di semua pertandingan dan meledak tiga gol atau lebih dalam lapan perlawanan terakhir di tempat lawan.

Klopp mengakui dia terkejut dengan kemenangan besar yang dicatat pasukannya ketika mereka melengkapkan lima gol dalam masa 50 minit.

"Apa yang saya harus katakan? Adakah saya menjangkakannya? Tidak. Apa yang kami lakukan pada separuh masa pertama adalah menakjubkan. Memberi tekanan, memenangi bola, menjaringkan gol menarik," kata Klopp

"Keputusan ini tidak masuk akal, saya tanya jika ia pernah berlaku dalam sejarah dan jika tiada, ia akan bertahan agak lama.

"Pemain-pemain memberi persembahan hebat. Ia amat istimewa tetapi kami tidak akan meraikannya dengan melampau. Kami bernasib baik kerana United tidak berada pada prestasi terbaik mereka."

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Oktober 2021 @ 8:21 AM