STUART tidak menolak kemungkinan ada kebocoran gelembung sukan hingga menyebabkan ramai dijangkiti. FOTO OWEE AH CHUN
STUART tidak menolak kemungkinan ada kebocoran gelembung sukan hingga menyebabkan ramai dijangkiti. FOTO OWEE AH CHUN
Syazwan

Kuala Lumpur: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) tidak menolak kemungkinan ada 'kebocoran' gelembung sukan hingga menyebabkan terlalu ramai pemain dan pegawai pasukan Negeri Sembilan FC (NSFC) dijangkiti Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif (MFL) Stuart Ramalingam berkata, ketika ini penularan Covid-19 membabitkan NSFC boleh dikatakan antara yang teramai di dunia menjangkiti dalam satu pasukan.

Beliau berkata, ketika ini MFL bersama pengurusan NSFC masih lagi melakukan siasatan termasuk mengenalpasti punca sebenar penularan Covid-19 hingga menjangkiti 20 pemain dan empat pegawai.

Katanya, pengurusan NSFC mengambil tindakan drastik dengan membatalkan terus penyertaan dalam saingan Piala Malaysia selain turut memantau keadaan pemain dan pegawainya.

"Saya tidak menolak kemungkinan ada kebocoran gelembung sukan hingga menyebabkan ramai dijangkiti namun NSFC cepat mengawal keadaan daripada terus merebak.

"MFL sudah mengadakan perbincangan bersama mereka namun tidak boleh mendedahkan butiran berkenaan kerana perkara penting ketika ini adalah memastikan pemain dan pegawai yang dijangkiti Covid-19 pulih," katanya.

Selain itu, Stuart berkata, pihaknya juga akan melakukan perbincangan termasuk mengambil tindakan lanjut terhadap mereka yang didapati gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan selain sengaja tidak mengikut peraturan gelembung sukan.

"Kami belum membincangkan mengenai hukuman atau tindakan kepada NSFC namun perkara itu akan diperhalusi nanti bagi mengelak kejadian sama berulang.

"Pada masa sama, saya ingin memberi peringatan kepada semua pasukan supaya patuhi SOP ditetapkan dan sentiasa berada dalam gelembung sukan bagi mengelak dijangkiti Covid-19," katanya.

Terdahulu Arena Metro melaporkan NSFC boleh dikatakan 'lumpuh' menjelang saingan Piala Malaysia bersambung hujung bulan ini apabila 20 pemain dan empat pegawai disahkan positif Covid-19 baru-baru ini.

Menerusi kenyataan media Negeri Sembilan FC memaklumkan bahawa pasukan itu terpaksa menarik diri daripada beraksi pada baki perlawanan Piala Malaysia yang akan bersambung hujung bulan ini.

Hal ini kerana, juara Liga Perdana itu terpaksa berehat panjang selepas perlu menjalani kuarantin wajib 10 hari di rumah dengan dipantau oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Oktober 2021 @ 4:40 PM