Antonio Conte. FOTO Agensi
Antonio Conte. FOTO Agensi
Agensi

London: Antonio Conte dilaporkan berminat mengendalikan Manchester United dan dimotivasikan dengan keinginan untuk membuktikan dirinya sebagai antara jurulatih terbaik dalam dunia bola sepak.

Conte, 52, bekas pengendali Chelsea tidak berkhidmat dengan mana-mana kelab sejak meninggalkan Inter Milan pada penghujung musim lalu selepas membawa pasukan itu menjulang kejuaraan pertama Serie A selepas sedekad.

Pengendali berpengalaman dari Itali itu dikaitkan kuat dengan jawatan di United sejak beberapa minggu lalu ketika tekanan berterusan ke atas Ole Gunnar Solskjaer.

Masa depan Solskjaer menjadi tanda tanya di Old Trafford susulan aksi mengecewakan yang memperlihatkan United gagal memenangi tiga perlawanan terakhir mereka dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Conte bukan hanya terbukti dengan rekod melakar kejuaraan, dia ketika ini tanpa mengendalikan mana-mana kelab seterusnya menjadikan dia calon terbaik jika kelab itu mengambil keputusan menyingkirkan Solskjaer.

Dilaporkan bekas bos Chelsea dan Inter Milan itu berminat dengan tugas pengendali United dengan beberapa syarat yang ditetapkan.

Selain Conte, nama legenda Perancis yang juga bekas pengendali Real Madrid, Zinedine Zidane berada di posisi terbaik bagi tugas itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Oktober 2021 @ 1:33 PM