PIQUE (kanan) bersama penjual kereta. FOTO Agensi
PIQUE (kanan) bersama penjual kereta. FOTO Agensi
Susunan Hamdan Saaid


Kuala Lumpur: Setiap pergerakan Gerard Pique di dalam mahupun di luar padang sering menjadi bahan bualan namun kisahnya membeli kereta Porsche bernilai 100,000 euro (RM484,000) dibayangi oleh stoking yang dipakainya ketika membeli kereta itu.

Pertahanan tengah Barcelona itu bergambar bersama penjual kereta dari pusat jualan yang kemudian dimuat naik ke akaun Instagram.

Kereta dibelinya Cayenne E-Hybrid Coupe adalah satu kereta hibrid dengan menggunakan enjin serta bateri berkuasa tinggi. Kereta elektrik itu boleh dipandu sejauh 48 kilometer tanpa menggunakan petrol.

Kereta baharu mesra alam Pique itu juga dibenarkan masuk ke zon pelepasan rendah Barcelona kerana ia mempunyai pelekat 'Cero' yang diperlukan. Kereta itu mempunyai harga asas lebih 100,000 euro namun ia tidak mengambil kira ciri tambahan yang dimahukan Pique.

Di sebalik gambar kereta penuh berkilat itu bagaimanapun banyak komen di hantaran itu lebih terjurus kepada stoking yang dipakai pemain berusia 34 tahun itu.

Malah bekas rakan sepasukannya Marc Bartra turut mengejeknya. Pique memakai stoking berwarna putih biru yang hampir sama warnanya dengan kelab musuh ketat Barca, Real Madrid.

Bekas pertahanan Manchester United itu juga terkenal dengan hobinya yang agak ekstrim termasuk 'surfing', menunggang buggy dan menaiki basikal elektrik. Dua bulan lalu, Pique dilihat oleh seorang jurugambar sedang 'surfing' di Cantabria ketika dia sepatutnya menjalani pemulihan daripada kecederaan pada tahap terakhir. Bagaimanapun dia bernasib baik tidak didenda oleh Barcelona.Tahun lalu, dia menunggang basikal elektrik yang mempunyai kelajuan dan pecutan luar biasa hingga perlu memiliki lesen memandu rasmi untuk mengujinya.

Pique pernah menggunakannya untuk menghadiri sesi latihan di kompleks sukan dan latihan Joan Gamper dan kemudian satu perlawanan menentang Espanyol di Nou Camp, tanpa mengambil kira bahaya dihadapinya.

Malah pada 2017, pemain Sepanyol itu memuat naik video ke laman sosial dia memandu buggy pada kelajuan tinggi melalui bukit pasir di Qatar. Buggy dipandunya terbalik namun dia tidak mengalami sebarang kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Oktober 2021 @ 6:25 PM