PEKAN akui Kelayakan Piala Asia boleh dijadikan penanda aras bagi merancakkan kembali sektor pelancongan sukan di negara. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR.
PEKAN akui Kelayakan Piala Asia boleh dijadikan penanda aras bagi merancakkan kembali sektor pelancongan sukan di negara. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur Hasrat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk membida hak selaku tuan rumah Kelayakan Piala Asia 2023 harus disambut baik pihak Kerajaan dan ia boleh dijadikan perintis kepada model gelembung sukan buat membenarkan acara sukan antarabangsa dilangsungkan di dalam negara.

Penganalisis sukan, Dr Pekan Ramli berkata, selepas dua tahun acara sukan antarabangsa dibekukan, sudah tiba masanya ia dikaji semula oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi membenarkan sektor itu dibuka semula.

Katanya, memandangkan FAM berhasrat untuk menjadi tuan rumah Kelayakan Piala Asia 2023 pada Jun tahun depan, tempoh hampir lapan bulan ini boleh dimanfaatkan MKN untuk melonggarkan beberapa sekatan buat pasukan atau atlet yang ingin beraksi di Malaysia.

"Sekarang negara kita pun sudah memasuki fasa keempat, malah dari segi imuniti kelompok pun kita sudah capai sasaran 90 peratus di seluruh negara.

"Cuma sekarang kita cuma nak kena pastikan mereka (pasukan luar) yang masuk ikut SOP (prosedur operasi standard) yang digariskan seperti wajib negatif sebelum tiba ke negara kita.

"Tempoh kuarantin juga boleh dikurangkan kepada mereka yang datang dengan kerap melakukan RTK (kit ujian kendiri Covid-19) dijalankan sebelum turun beraksi. Saya fikir, model ini sudah digunakan sebaiknya di luar negara dengan membenarkan acara sukan dipertandingkan.

"Jadi kita boleh ambil dan mungkin Kelayakan Piala Asia ini boleh dijadikan penanda aras bagi merancakkan kembali sektor pelancongan sukan di negara kita," katanya kepada Arena Metro.

Menerusi laporan Arena Metro semalam, FAM bersungguh mahu memastikan bidaan tuan rumah bagi pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 menjadi milik Malaysia selepas Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) merombak format kelayakan dengan dijalankan secara berpusat.

Komitmen itu diluahkan Setiausaha Agung FAM, Saifuddin Abu Bakar apabila mengesahkan badan induk bola sepak tempatan itu bersedia merebut salah satu daripada enam venue berpusat yang akan ditawarkan kepada semua 24 pasukan di saingan itu nanti.

Jelas Saifuddin, kelebihan beraksi di hadapan penyokong sendiri itu penting bagi memastikan sasaran untuk layak ke Piala Asia di China pada 2023 itu menjadi kenyataan.

Menurut Pekan lagi, kelebihan beraksi di hadapan penyokong sendiri adalah kesempatan yang perlu digunakan sebaiknya bagi membolehkan skuad Harimau Malaya layak ke Piala Asia nanti.

"Kenyataan FAM itu ada benarnya. Faktor penyokong boleh dijadikan tonik tambahan bagi menaikkan motivasi pemain apabila beraksi nanti.

"Kerap kali kita buktikan dengan sokongan yang diberikan 'pemain ke-12', pasukan kita sering meraih keputusan yang positif dan kalau kalah sekalipun tidak seteruk bermain di luar.

"Jadi KBS perlu menyuarakan sokongan, bukan sekadar untuk memberi kelebihan kepada pasukan negara tetapi juga untuk hangatkan kembali suasana dan sektor sukan di negara ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Oktober 2021 @ 9:45 PM