BRUCE meninggalkan Newcastle selepas lebih daripada dua tahun membimbing kelab berkenaan. FOTO AFP
BRUCE meninggalkan Newcastle selepas lebih daripada dua tahun membimbing kelab berkenaan. FOTO AFP
AFP

London: Steve Bruce meninggalkan posisinya sebagai pengurus Newcastle melalui 'persetujuan bersama', 13 hari selepas pemilik baru dari Arab Saudi mengambil alih kelab berkenaan.

"Newcastle United mengesahkan bahawa Steve Bruce meninggalkan jawatannya sebagai ketua jurulatih hasil persetujuan bersama.

"Beliau meninggalkan The Magpies selepas lebih dari dua tahun membimbing pasukan, dengan membawa kelab menduduki tempat ke-13 dan 12 dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL)," kata kelab itu dalam satu kenyataan.

Bruce, 50 berkata, beliau berbesar hati diberi peluang untuk menguruskan pasukan yang unik itu.

"Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada pasukan kejurulatihan, pemain dan staf sokongan di atas segala kerja keras mereka.

"Ada saat naik dan turun, namun mereka memberikan segala-galanya termasuk ketika situasi sukar dan saya bangga dengan usaha mereka

"Kelab ini mendapat sokongan padu dan saya harap pemilik baru mampu membawa kelab ini lebih berjaya, kita semua mahukan seperti itu. Saya ucapkan selamat maju jaya buat semua untuk baki musim ini dan juga pada masa akan datang," katanya.

Penolong Bruce, Graeme Jones akan mengambil alih pasukan untuk aksi Sabtu ini berdepan Crystal Palace tatkala The Magpies masih lagi menanti kemenangan pertama EPL musim ini dan menduduki tangga kedua terbawah liga.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Oktober 2021 @ 8:22 PM