Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Ketiadaan dua tonggak muda iaitu Arif Aiman Hanapi dari Johor Darul Ta'zim (JDT) dan pemain yang beraksi di Amerika Syarikat, Wan Kuzri Wan Kamal tidak sedikitpun mencemaskan kem skuad bawah 23 (B-23) tahun negara menjelang Kelayakan Piala Asia B-23 di Ulaanbaatar, Mongolia Isnin ini.

Pengguguran dua bintang itu sememangnya mengejutkan selepas kedua-duanya sebelum ini sering menjadi pilihan utama pengendali pasukan, Brad Maloney dalam mana-mana aksi yang ditempuhi, selain Luqman Hakim Shamsudin dan Mukhairi Ajmal Mahadi.

Jelas Maloney, skuad yang di bawa kali ini cukup seimbang dan memiliki kekuatan tersendiri serta mampu mengharungi kempen kelayakan dengan Malaysia di letakkan dalam Kumpulan J bersama Laos, Thailand dan Mongolia.

"Saya dapat berasakan pasukan ini masih lagi seimbang, kami memiliki beberapa pemain yang boleh turun dalam posisi berbeza dan selepas membuat persiapan yang lama, kami sangat teruja untuk menghasilkan keputusan positif di Mongolia," katanya.

Semalam, kem negara mengumumkan senarai 23 pemain terakhir dengan Luqman yang beraksi di Liga Belgium akan mengetuai jentera hadapan pasukan.

ARIF Aiman (tengah) tidak beraksi di Kelayakan Piala Asia B-23 di Ulaanbaatar, Mongolia. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
ARIF Aiman (tengah) tidak beraksi di Kelayakan Piala Asia B-23 di Ulaanbaatar, Mongolia. FOTO NUR AISYAH MAZALAN

Bagi memastikan ketiadaan Arif dan Wan Kuzri tidak dirasai, Maloney yang berasal dari Australia membuat kejutan apabila memanggil dan seorang lagi pemain di luar negara iaitu Annil Vigneswaran yang ketika ini beraksi untuk SGV Freiberg di Jerman.

Di Mongolia, skuad negara mensasarkan untuk muncul sebagai juara kumpulan, di mana slot automatik ke pusingan akhir di Uzbekistan pada tahun depan hanya disediakan buat 11 juara dari 11 kumpulan.

Naib juara turut layak namun persaingan sedikit sukar kerana Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) hanya memperuntukkan empat tiket sahaja daripada 11 kumpulan itu sekali gus melengkapkan 16 pasukan terbaik termasuk Uzbekistan selaku pasukan tuan rumah.

Malaysia dijadual bertemu Laos pada Isnin depan diikuti aksi menentang tuan rumah, Mongolia (28 Oktober) dan perlawanan terakhir berdepan Thailand (31 Oktober) dengan kesemua aksi akan dilangsungkan di Stadium MFF, Ulaanbaatar yang menggunakan permukaan padang rumput tiruan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Oktober 2021 @ 5:04 PM