HADI Fayyadh sudah tiga tahun di Jepun. FOTO Hadi Fayyadh
HADI Fayyadh sudah tiga tahun di Jepun. FOTO Hadi Fayyadh
Bersama Hadi Fayyadh dari Jepun

Assalamualaikum dan salam hari minggu buat semua. Diharap semua pembaca Metro Ahad berada dalam keadaan yang sihat bersama keluarga tersayang.

Pada minggu ini saya ingin menyentuh berkaitan perbezaan bola sepak Malaysia dan Jepun. Ia berdasarkan pemerhatian saya di sini selama lebih kurang tiga tahun.

Dari apa yang saya lihat di sini, mereka sangat terapkan kepada kemahiran asas bola sepak dari peringkat awal lagi. Ini adalah satu perkara yang saya fikirkan sangat penting dalam bola sepak dan membawa kejayaan kepada pembangunan bola sepak di Jepun.

Mereka memfokuskan kepada kemahiran teknikal dalam program akar umbi seperti kawalan bola serta corak permainan yang mantap. Mungkin sebab itu juga kita dapat lihat ramai pemain bagus di Jepun kerana mereka mempunyai asas bola sepak yang baik sejak dari awal usia lagi.

Perkara ini mungkin sedikit berbeza di Malaysia ketika waktu saya kecil dulu, perkara ini agak kurang diberi perhatian. Saya banyak berlatih sendiri untuk mendapatkan kemahiran asas bola sepak.

Walau bagaimanapun, saya percaya pembangunan bola sepak di Malaysia ketika ini juga dalam keadaan yang baik dengan wujudnya Akademi Bola Sepak JDT, Terengganu FC, Selangor, Akademi Tunas NFDP di bawah seliaan Majlis Sukan Negara (MSN) serta banyak lagi.

Saya percaya sekiranya pemain cilik negara kita diberi pendedahan terbaik sejak awal usia dari akademi seperti ini, tidak mustahil kita akan dapat melahirkan pemain berkelas dunia.

Kita juga mempunyai bakat pemain bola sepak negara yang terbaik di Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) yang saya percaya merupakan bakal wira negara sedikit masa lagi.

Berilah mereka ruang dan peluang untuk membuktikan bahawa mereka adalah pewaris bola sepak negara ini. Kita juga harus sentiasa percaya dan memberikan sokongan sepenuhnya kepada mereka dan program pembangunan bola sepak negara yang sudah dijalankan semua pihak agar hasrat kita semua untuk melihat bendera Malaysia di Piala Dunia tercapai.

Akhir kata, saya ingin mengajak semua pembaca untuk kita sama-sama terus menyokong sukan bola sepak tempatan kerana tanpa sokongan anda semua, bola sepak negara tidak boleh pergi jauh.

Sekian sahaja dari saya di sini, diharapkan agar semua pembaca dapat menjaga diri dengan baik. Sehingga bertemu lagi di penulisan akan datang.

Sekian, terima kasih semua.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Oktober 2021 @ 10:28 PM