AMANDA (kanan) bersama suaminya Merhdad. FOTO Ihsan Twitter Newcastle United FC
AMANDA (kanan) bersama suaminya Merhdad. FOTO Ihsan Twitter Newcastle United FC
Susunan Hamdan Saaid


Kuala Lumpur: Newcastle United kini di bawah pemilikan baharu dengan majoriti dana kewangan hasil biayaan daripada Dana Pelaburan Awam Arab Saudi, namun siapakah wanita yang membantu usaha pengambilalihan itu menjadi kenyataan?

Amanda Staveley memiliki karier yang panjang dalam perniagaan, dengan kemuncaknya menyaksikan kemampuannya untuk menjadi orang tengah dalam perjanjian untuk mengambil alih Newcastle United, di sebalik banyak halangan dan kini beliau menjadi seorang daripada pengarah di St James Park.

Beliau diberi kepercayaan untuk mencari seorang jurulatih baharu menggantikan Steve Bruce selain membawa masuk kakitangan jabatan teknikal berbakat yang akan mengambil alih operasi harian di kelab bola sepak paling kaya di dunia itu.

Adakah Amanda seorang yang berpengalaman dalam urusan bola sepak? Jawapannya sudah tentu tidak kerana Amanda hanya baru berjinak dengan sukan itu bersama Magpies.

Bagaimanapun beliau pernah terbabit dalam usaha untuk membeli Liverpool pada 2008 dan mewakili satu konsortium Dubai yang berminat untuk mengambil alih kelab itu daripada pemiliknya Tom Hicks.

Amanda sebenarnya dikenali seketika dalam khalayak ramai kerana menjalin hubungan dengan Duke of York, Putera Andrew selama dua tahun pada 2001. Difahamkan beliau pernah menolak lamaran Putera Andrew kerana tidak mahu menjadi sebahagian daripada ahli keluarga diraja.

Pada Oktober 2011, Amanda berkahwin dengan ahli perniagaan Britain-Iran Mehrdad Ghodoussi dalam sebuah majlis yang diadakan di West Wycombe Park di Buckinghamshire.

Ketika mudanya, Amanda juga pernah terbabit dalam bidang peragaan atau modeling.

Pada 2013, Amanda disahkan mengidap penyakit Huntington, satu gangguan degeneratif yang biasanya memberi kesan teruk pada kemudian hari.

Walaupun berita positif bahawa penyakit Amanda itu dorman, sentiasa ada kebimbangan ia boleh menular semula berikutan tekanan yang sering dihadapinya dalam dunia perniagaan.

Tidak ada perniagaan yang lebih mencetus banyak tekanan berbanding bola sepak dan menarik untuk dilihat bagaimana personaliti berusia 48 tahun itu menanganinya di kelab sebaik tempoh awal pelantikannya di kelab itu dilengkapkan.

Selepas bekerja dengan bursa saham dan bank, kekayaan peribadi Amanda sebenarnya amat mengagumkan.

Beliau dikatakan mempunyai nilai harta peribadi berjumlah £120 juta (RM686 juta) selain mempunyai hartanah di Dubai dan London.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Oktober 2021 @ 1:28 PM