PENYOKONG Newcastle United meraikan pemilikan baharu kelab itu. FOTO AFP
PENYOKONG Newcastle United meraikan pemilikan baharu kelab itu. FOTO AFP
Agensi

London: Pengambil alihan Newcastle oleh jutawan Arab Saudi mendapat tentangan hebat daripada pesaing mereka di Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas 24 jam proses pemilikan itu selesai.

Difahamkan pengerusi Tottenham, Daniel Levy mencuba untuk menghentikan proses pengambil alihan yang sangat lumayan itu namun beliau diberitahu ia adalah usaha yang sia-sia sahaja.

Difahamkan juga pengambil alihan berjumlah £305 juta (RM1.73 bilion) itu yang diketuai oleh Dana Pelaburan Awam (PIF) Arab Saudi mendapat tentangan hebat daripada Liverpool, Manchester United, Arsenal dan Tottenham.

Tottenham juga dikatakan memimpin gerakan meminta Liga Perdana menolak kemasukan jutawan Arab Saudi ke liga berperstij itu.

Terdapat juga laporan menyatakan 19 lagi kelab mendesak Liga Perdana mengadakan mesyuarat mengapa membenarkan pengambil alihan Newcastle itu.

Pemilik baharu kelab itu mempunyai misi besar untuk mengubah kelab berkenaan dengan sasaran utama muncul juara Eropah.

Gabenor PIF, Yasir Al-Rumayyan yang juga pengerusi bukan eksekutif kelab menerusi surat terbukanya kepada penyokong berkata: "Paling penting anda boleh meletakkan harapan yang tinggi.

"Seperti anda, kami juga mahukan membentuk pasukan yang mampu meraih kejayaan konsisten. Kami di sini mahu membina kejayaan jangka masa panjang.

"Memiliki kelab ini bukanlah tanggungjawab yang kami ambil mudah dan kami tidak akan pernah melupakan apa maksudnya menjadi sebahagian daripada Newcastle United."

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Oktober 2021 @ 10:01 AM