PEMAIN Sri Pahang FC,   Fazly Mazlan (dua kiri) menghalang kemaraan pemain Sarawak United, Uche Agba (kiri) dalam aksi  Piala Malaysia  di Stadium UITM.  FOTO Owee Ah Chun
PEMAIN Sri Pahang FC, Fazly Mazlan (dua kiri) menghalang kemaraan pemain Sarawak United, Uche Agba (kiri) dalam aksi Piala Malaysia di Stadium UITM. FOTO Owee Ah Chun
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Bergelar pendahulu Kumpulan A Piala Malaysia dengan merekod kemenangan dua kali berturut-turut ke atas pasukan Liga Super bukan tiket buat Sarawak United FC untuk berpuas hati dan bergembira.

Pertahanan Sarawak United, Tommy Mawat Bada berkata, dia berasakan tempoh rehat Piala Malaysia selama sebulan bagi memberi laluan buat aksi antarabangsa bakal menjadikan suasana baki empat perlawanan seterusnya sukar diramal.

Jelasnya, semua pasukan berpeluang memperbaiki kelemahan masing-masing selain memberi peluang buat pemain yang mengalami kecederaan untuk pulih sebelum saingan kembali bersambung pada 29 dan 30 Oktober ini.

Situasi itu menyebabkan pemain berusia 26 tahun berkenaan tidak berasakan Sarawak United seharusnya mendabik dada kerana melihat Kuala Lumpur City FC, Penang FC dan Sri Pahang pasti akan cuba bangkit bagi merampas kedudukan pendahulu Kumpulan A.

"Memang tiada siapa menyangka Sarawak United boleh berada dalam kedudukan ini kerana ramai melihat kami hanya 'underdog' jika dilihat semua pasukan lain dalam Kumpulan A.

"Saya rasa mungkin semua pemain mahu bangkit dari kekecewaan di Liga Perdana apabila kami terlepas kejuaraan di saat akhir dan mahu menebusnya pada saingan Piala Malaysia.

"Berbaki lagi empat perlawanan, sukar untuk saya jangkakan kami mampu meneruskan momentum dua kemenangan yang kami buat sebelum ini kerana tempoh rehat selama satu bulan ini.

"Jadi, kami tidak boleh leka dengan kedudukan di tangga teratas kerana pasukan seperti Sri Pahang dan Penang pasti akan cuba perbaiki sebarang kelemahan dalam dua perlawanan sebelum ini manakala KL City pasti akan mengkaji sebaik mungkin perlawanan kami bagi aksi ketiga Piala Malaysia.

"Seperti kami, sudah pasti selepas balik dari cuti dan kembali menjalani latihan, kami akan bekerja keras dapatkan balik momentum yang dibina pada dua perlawanan lalu," katanya.

Sarawak United menjadi pasukan paling mencuri tumpuan selepas mengejutkan pasukan pilihan Penang FC 3-1 pada aksi sulung di Stadium Bandaraya dan meraih kemenangan tipis 1-0 berdepan Sri Pahang untuk mengumpul enam mata maksimum.

Situasi itu meletakkan mereka berjaya mengetepikan KL City yang kini di tangga kedua dengan empat mata, sementara Penang satu mata dan Sri Pahang tanpa sebarang mata.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Oktober 2021 @ 2:34 PM