RANIERI menjulang trofi Liga Perdana Inggeris ketika mengendalikan Leicester pada 2016.
RANIERI menjulang trofi Liga Perdana Inggeris ketika mengendalikan Leicester pada 2016.
AFP

London: Claudio Ranieri kembali ke Liga Perdana selepas dilantik menjadi pengurus baharu Watford awal pagi tadi.

Bekas pengurus Chelsea itu yang membawa Leicester menjuarai Liga Perdana 2016 mengikat kontrak dua tahun dengan Hornets yang memecat Xisco Munoz.

"Watford FC mengesahkan pelantikan Claudio Ranieri sebagai ketua jurulatih baharu kelab dengan kontrak dua tahun,'' menurut kenyataan laman web kelab.

"Ranieri hadir ke Vicarage Road membawa bersama pengalaman luas selepas mengendalikan beberapa kelab besar Eropah dengan gelaran Liga Perdana, Piala Itali dan Piala Raja Sepanyol antara trofi diraih sepanjang karier pengurusannya.''

Watford kini menduduki tangga ke-15 Liga Perdana selepas meraih tujuh mata daripada tujuh aksi pertama musim ini.

Ranieri berusia 69 tahun meninggalkan Sampdoria penghujung musim lalu dan tidak mengendalikan mana-mana pasukan selepas itu.

Xisco pula membawa Watford ke Liga Perdana dari Liga Kejuaraan musim lalu tetapi dipecat kelmarin selepas hanya 10 bulan mengendalikan pasukan itu.

Ranieri muncul pengurus tetap Watford ke-13 sejak keluarga Pozzo mengambil alih kelab pada 2012.

Perlawanan pertama Ranieri bersama Watford ialah pada 16 Oktober apabila mereka menerima kunjungan Liverpool di Vicarage Road.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Oktober 2021 @ 7:17 AM