DAMIEN (kanan) beraksi cemerlang dalam aksi Liga Perdana dengan membantu NSFC menjulang kejuaraan itu musim ini. FOTO Ihsan MFL
DAMIEN (kanan) beraksi cemerlang dalam aksi Liga Perdana dengan membantu NSFC menjulang kejuaraan itu musim ini. FOTO Ihsan MFL
Mohd Amin Jalil


Seremban: Biarpun buat julung kali bakal beraksi dalam saingan Piala Malaysia, namun penjaga gawang Negeri Sembilan FC (NSFC), Damien Lim sudah bersedia dari segi fizikal dan mental untuk memulakan cabaran itu, Isnin ini.

Pemain berusia 24 tahun itu berkata, dia belum pernah beraksi dalam kempen memburu trofi berprestij itu sebelum ini, apabila hanya memanaskan bangku simpanan ketika bersama skuad PKNS FC.

"Musim ini adalah julung kali saya akan bermain dalam saingan Piala Malaysia dan berasa amat teruja serta tidak sabar untuk turun beraksi.

"Secara peribadi, saya sudah bersedia dari segi fizikal dan mental dan berharap dapat diturunkan pada perlawanan pertama peringkat kumpulan bertemu Melaka United FC (MUFC) di gelanggang lawan, Isnin nanti," katanya.

Pemain berasal dari Kuala Lumpur itu berkata, dia sedar saingan Piala Malaysia lebih mencabar berbanding dalam Liga Perdana.

Justeru katanya, setiap pemain perlu berada pada tahap prestasi terbaik jika mahu membantu pasukan mencapai kemenangan dan mara ke peringkat seterusnya.

"Saya sedar cabaran berhadapan dengan pasukan dari Liga Super seperti Kedah Darul Aman (KDA) FC serta Melaka United amat berbeza, apatah lagi dengan barisan penyerang mereka yang lebih hebat dan berpengalaman.

"Hakikatnya, saya perlu meningkatkan lagi tahap persembahan dalam memastikan gawang NSFC tidak bolos dan seterusnya dapat membantu pasukan mendapatkan keputusan positif pada aksi peringkat Kumpulan C nanti," katanya.

Bagaimanapun, Damien yang mula mendapat kepercayaan ketua jurulatih NSFC, K Devan pada awal musim yakin mampu meneruskan rentak cemerlang selepas membantu skuad Hobin Jang Hobin menjulang kejuaraan Liga Perdana musim ini.

"Kejayaan membantu NSFC menjulang kejuaraan Liga Perdana memberikan keyakinan diri untuk meneruskan persembahan terbaik.

"Saya berharap dapat bantu pasukan meneruskan rentak cemerlang pada peringkat Kumpulan C Piala Malaysia dan seterusnya mara sejauh mungkin pada saingan berprestij itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 September 2021 @ 5:35 PM