PEMAIN Venezia, Domen Crnigoj cuba untuk menghalang Hernandez. FOTO AFP
PEMAIN Venezia, Domen Crnigoj cuba untuk menghalang Hernandez. FOTO AFP
AFP

Milan: AC Milan berkongsi kedudukan teratas Serie A bersama Inter Milan selepas Theo Hernandez membantu pasukan berkenaan mencatat kemenangan 2-0 ke atas Venezia, manakala Juventus pula meraij kemenangan pertama musim ini selepas lima kali mencuba apabila menang 3-2 menentang Spezia.

Pemain antarabangsa Perancis, Hernandez meledak gol kedua selepas Brahim Diaz membuka jaringan buat Milan untuk membolehkan mereka meraih 13 mata sekali gus berkongsi kedudukan teratas bersama seteru setempat, Inter.

Diaz membuka jaringan ke atas Venezia yang liat bertahan apabila menyambut sepakan voli Hernandez pada minit ke-67.

Hernandez selepas itu mengesahkan tiga mata buat Milan lapan minit sebelum tamat apabila menerima hantaran daripada pemain gantian, Alexis Saelemaekers sebelum melepaskan rembatan bagi meraih gol sulungnya musim ini.

Milan satu mata mengatasi Napoli yang akan menentang Sampdoria tengah malam ini untuk mengekalkan rekod 100 peratus, manakala Atalanta dan Roma di tempat keempat dan kelima.

"Kami sedar Venezia adalah pasukan yang sukar untuk ditentang, kami perlu menang semua perlawanan seperti ini dan sekarang kami perlu menang aksi hari Sabtu (di Spezia).

"Jaringan kami sangat penting untuk membantu meraih kejuaraan dan bagi mencapai sasaran yang ditetapkan," kata Hernandez.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 September 2021 @ 11:46 AM