KOEMAN (dua kanan) ketika sesi latihan. FOTO EPA
KOEMAN (dua kanan) ketika sesi latihan. FOTO EPA
AFP

Madrid: Ronald Koeman yang berdepan tekanan hebat untuk dipecat hanya membaca kenyataan yang sudah disediakan sebelum meninggalkan sidang media hari ini tanpa menjawab sebarang pertanyaan.

Kedudukan Koeman selaku pengurus Barcelona semakin terancam selepas kekalahan 0-3 di tangan Bayern Bunich pada saingan Liga Juara-Juara minggu lalu diikuti seri 1-1 di halaman sendiri dengan Granada di saingan La Liga.

Pada sidang media, Koeman duduk sebelum diperkenalkan oleh pegawai media kelab yang menyatakan pengendali dari Belanda itu mahu membaca satu kenyataan pendek.

Koeman kemudian berkata: "Salam sejahtera. Kelab dan saya sebagai jurulatih berada dalam situasi membina pasukan.

"Kedudukan kewangan kelab berkaitan dengan aktiviti sukan dan lain-lain. Ini bermakna kami sebagai sebuah pasukan perlu membentuk semula pasukan tanpa dapat membuat pelaburan kewangan yang besar. Ia memerlukan masa.

"Barisan pemain berbakat yang ada hari ini kemungkinan akan menjadi seorang pemain berstatus bintang dalam tempoh beberapa tahun lagi. Untuk membentuk semula pasukan ini, pemain muda akan diberi peluang sepertimana dilalui Xavi dan Iniesta semasa zaman mereka. Tapi kami meminta kesabaran semua pihak.

"Meraih ranking yang tinggi di La Liga adalah kejayaan yang besar. Di saingan Liga Juara-Juara kami tidak mengharapkan keajaiban. Kekalahan kepada Bayern Munich minggu lalu harus dianalisis.

"Proses yang kami lalui sekarang bersama kakitangan dan pasukan memerlukan sokongan menerusi kata-kata dan tindakan. Saya tahu media menyedari proses ini.

"Ini bukan kali pertama dalam sejarah Barcelona ia berlaku. Kami memerlukan sokongan anda sepanjang tempoh sukar ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 September 2021 @ 8:40 PM