Penyerang Dortmund, Erling Braut Haaland (kanan) meraikan jaringan ketika berdepan Leverkusen. FOTO AFP
Penyerang Dortmund, Erling Braut Haaland (kanan) meraikan jaringan ketika berdepan Leverkusen. FOTO AFP
AFP

Leipzig, Jerman: Erling Braut Haaland meledak dua gol ketika Borussia Dortmund bangkit dari ketinggalan tiga kali sebelum mencatat kemenangan mendebarkan 4-3 di Bayer Leverkusen.

"Anda tidak boleh mempertahankan semuanya dan Dortmund mempunyai penyerang kelas dunia," akui jurulatih Leverkusen, Gerardo Seoane.

"Ia perlawanan yang hebat, tapi amat mengecewakan apabila anda mendahului tiga kali dan kemudian tewas."

Jaringan Haaland di Leverkusen bermakna penyerang Norway sudah menjaringkan lapan gol dalam lima perlawanan buat kelab dan negara.

Haaland meledak 13 gol musim ini - lima buat Norway dan lapan untuk Dortmund.

Di Leverkusen, pemain muda kebangsaan Jerman, Florian Wirtz meletakkan tuan rumah di depan, dia kemudian bergandingan dengan Patrik Schick untuk gol kedua menjadikan kedudukan 2-1 sebelum rehat selepas Haaland menanduk gol penyamaan buat Dortmund.

Haaland kemudian mencipta gerakan untuk gol penyamaan Julian Brandt pada awal babak kedua sebelum pemain sayap Leverkusen, Moussa Diaby meletakkan tuan rumah sekali lagi di depan 3-2 ketika perlawanan berbaki 35 minit.

Dortmund menyamakan kedudukan kali ketiga menerusi Raphael Guerreiro sebelum Haaland memastikan kemenangan menerusi penalti selepas tenang menyepak ke penjuru tepi 13 minit sebelum tamat perlawanan selepas pertahanan Leverkusen, Odilon Kossounou mengasari Marco Reus.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 September 2021 @ 8:30 AM