SKUAD Kedah Darul Aman FC tiada pilihan lain selain perlu bangkit mendapatkan kemenangan pada aksi menentang Melaka United esok. FOTO Ihsan KDA FC
SKUAD Kedah Darul Aman FC tiada pilihan lain selain perlu bangkit mendapatkan kemenangan pada aksi menentang Melaka United esok. FOTO Ihsan KDA FC
Izzali Ismail


Alor Setar: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) menaruh harapan tinggi untuk memburu kemenangan pada aksi terakhir saingan Liga Super menentang Melaka United (MU) di Stadium Darul Aman malam esok.

Ketua jurulatihnya, Aidil Sharin Sahak berkata, hanya dengan kemenangan sahaja dapat memastikan misi gelaran naib juara untuk kali kedua dapat dicapai dan seterusnya melayakkan diri ke peringkat saingan Piala AFC musim depan.

Ini memandangkan perbezaan mata terlalu dekat dengan dua pencabar iaitu Penang FC dan Terengganu FC yang juga masih berpeluang memintas skuad Hijau Kuning untuk berada di tangga kedua jika Kedah tidak meraih kemenangan di laman sendiri.

"Kami tiada pilihan lain, kerana ini perlawanan terakhir dalam Liga Super musim ini, dan kami harus bangkit daripada apa yang berlaku dalam dua perlawanan lalu dengan memastikan tiga mata penuh diperolehi di laman sendiri kali ini.

"Apa yang penting kami tidak harus terlalu tertekan dan tidak perlu merasa gentar, sebaliknya kami perlu menganggap misi kali ini sebagai satu cabaran perlawanan seterusnya dan terus memberi fokus yang tinggi sepanjang tempoh 90 minit perlawanan itu nanti.

"Faktor keletihan dan kepenatan selepas mengharungi jadual padat melalui lapan perlawanan lalu masih dirasai namun kami tetap bersemangat kental dan mahu memberi segalanya pada perlawanan penting kali ini," katanya.

Aidil dalam pada itu turut mengakui skuadnya tidak berdepan tugas mudah untuk menentang Melaka United kendalian jurulatih berpengalaman, Zainal Abidin Hassan yang kini menunjukkan peningkatan ketara selepas memasuki pusingan kedua Liga Super.

"Kami tahu akan berdepan Melaka United yang kini pasukan berbeza berbanding pusingan pertama dahulu kerana mereka membuat pertukaran beberapa pemain import dan dilihat lebih berbisa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 September 2021 @ 11:22 AM