Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Jenama kelab bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT) dijangka terus melonjak selepas kisah kejayaan skuad Harimau Selatan yang didokumentarikan bakal menemui peminat di seluruh rantau ini selain di Taiwan dan Hong Kong.

Menerusi satu kenyataan media, JDT mengesahkan syarikat penerbitan 108 Media sudah menandatangani perjanjian dengan Discovery Inc untuk menyiarkan 'Fearless: Rise of the Southern Tigers' di rantau Asia Tenggara serta dua negara di Asia Timur itu.

Menurut pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, beliau amat berbesar hati apabila kisah kejayaan kelab tempatan itu akan dikongsikan sekali gus diharapkan dapat menjadi sumber inspirasi buat semua.

"Saya gembira kini lebih banyak tempat di Asia dapat menonton kisah hebat mengenai kelab bola sepak JDT dan bagaimana kami bekerja keras di belakang tabir bagi memastikan kejayaan di dalam dan luar padang," katanya.

'Fearless: Rise of the Southern Tigers' mengisahkan cerita di belakang tabir bagaimana JDT diuruskan dan perubahan yang dilalui bola sepak Johor itu sejak Tunku Ismail mengambil alih pada tahun 2013.

Antara kisah diceritakan dalam siri ini mengenai visi Tunku Ismail untuk Johor dan bola sepaknya, bagaimana telitinya beliau dalam setiap segi, bagaimana kelab ini berkembang sedikit demi sedikit, perbincangan dalam membuat keputusan untuk kelab, penyokong Bangsa Johor yang setia dan banyak lagi.

Isteri kepada Tunku Mahkota Johor, Che' Puan Besar Khaleeda Bustamam turut menceritakan pengalaman dan menerangkan bagaimana bersemangatnya Tunku Ismail dalam membangunkan kelab itu.

Sementara itu, Ketua Bahagian Kandungan Asia Pasifik Discovery Inc, Lynn Ng berkata, dokumentari ini wajib ditonton kerana ia memberi banyak impak positif untuk menjadi seorang juara.

Tayangan perdana 'Fearless: Rise of The Southern Tigers' akan disiarkan jam 9 malam esok (waktu Malaysia) di saluran Discovery Asia di rantau Asia Tenggara, Taiwan dan Hong Kong.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 September 2021 @ 5:09 PM