Penyerang Uruguay, Luis Suarez. FOTO Agensi
Penyerang Uruguay, Luis Suarez. FOTO Agensi
AFP

Madrid: Uruguay dijangka beraksi tanpa Luis Suarez pada perlawanan kelayakan Piala Dunia minggu ini selepas pemain Atletico Madrid itu mendedahkan dia mengalami kecederaan lutut kiri.

Suarez dipercayai mengalami kecederaan itu ketika kelab itu terikat 2-2 menentang Villarreal, yang mana dia turut menjaringkan gol pada aksi itu.

"Pasukan perubatan Atletico Madrid menjalankan pemeriksaan terhadap Luis Suarez di Navarra University Clinic (Madrid) selepas dia mengadu kesakitan selepas perlawanan menentang Villarreal," kata juara Sepanyol itu dalam satu kenyataan.

Atletico tidak menyatakan berapa lama pemain berusia 34 tahun itu diketepikan tetapi kecederaannya menyebabkan dia tersisih dari perlawanan Uruguay menentang Peru (Khamis), Bolivia (5 September) dan Ecuador (9 September).

Uruguay juga tanpa khidmat penyerang Manchester United, Edinson Cavani selepas penyenaraian pemain itu dibatalkan Persatuan Bola Sepak Uruguay.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Ogos 2021 @ 11:18 PM