AKSI Kane menjaringkan gol ketika menentang Pacos. FOTO Agensi
AKSI Kane menjaringkan gol ketika menentang Pacos. FOTO Agensi
AFP

Paris: Harry Kane menjaringkan dua gol dalam aksi pertamanya sejak mengumumkan terus kekal di Tottenham musim ini ketika Spurs menewaskan Pacos de Ferreira 3-0 dalam aksi playoff Liga Konferensi Europa awal pagi tadi.

Kemenangan dengan agregat 3-1 itu membolehkan skuad Nuno Espirito Santo mara ke peringkat undian kumpulan kejohanan edisi sulung Uefa itu hari ini.

Penyerang England, Kane yang mahu berpindah ke Manchester City tetapi tidak dibenarkan pengerusi kelab, Daniel Levy akhirnya mengesahkan terus kekal bersama kelab utara London itu.

Dia terlepas dua aksi pertama Tottenham musim ini susulan masih dalam proses memulihkan kecergasan tetapi tampil sebagai pemain gantian ketika menentang bekas kelab Nuno, Wales hujung minggu lalu.

"Saya lihat Harry setiap hari sejak dia kembali sertai kami dan dia tidak perlu buktikan apa-apa," kata Nuno. "Komitmennya boleh anda lihat.

"Lupakan apa yang berlaku, pandang ke hadapan tetapi saya lihat dia setiap hari.''

Santo menyenaraikan Kane dalam kesebelasan utama kali pertama sejak mengambil alih tugas pengurus dan turut memakai lilitan kapten ketika penjaga gol, Hugo Lloris direhatkan.

Pemain berusia 28 tahun itu pantas mencetuskan impak di Stadium Tottenham Hotspur apabila menyamakan kedudukan agregat 1-1 pada minit kesembilan selepas mendapat hantaran Bryan Gil.

Kane kemudiannya meledak gol kedua menerusi tolakan mudah 10 minit sebelum rehat yang mendapat tepukan gemuruh penonton sebelum rembatan Giovani Lo Celso mengesahkan kemenangan pada babak kedua dan Kane digantikan Son Heung-min ketika permainan berbaki 18 minit.

Dalam perlawanan lain, Roma turut mara ke peringkat kumpulan selepas menang 3-0 ke atas Trabzonspor di Stadio Olimpico manakala kelab Perancis, Rennes menewaskan Rosenborg 3-1 di Norway dan mara dengan agregat 5-1.

Dalam aksi playoff Liga Europa, Fenerbahce menewaskan HJK dengan agregat 6-2 manakala Rapid Vienna menewaskan Zorya Luhansk 3-2 di Ukraine.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Ogos 2021 @ 7:36 AM