CUBAAN Ronaldo (tengah) pada perlawanan bertemu Udinese. FOTO AFP
CUBAAN Ronaldo (tengah) pada perlawanan bertemu Udinese. FOTO AFP
AFP

Milan: Jaringan lewat permainan Cristiano Ronaldo menerusi tandukan dibatalkan kerana ofsaid pada perlawanan dramatik ketika seri 2-2 dengan Udinese di tempat lawan.

Ronaldo yang bermula di bangku simpanan, hampir memastikan Juventus membawa pulang tiga mata penuh selepas disahkan akan kekal bersama kelab itu pada musim ini.

Jurulatih, Massimiliano Allegri berkata, beliau sentiasa mahu memastikan Ronaldo dapat beraksi meskipun diletakkan di bangku simpanan.

"Cristiano OK. Ia adalah permulaan musim ini dan selepas melihat situasi barisan pemain lain dan memikirkan perlawanan ini, saya mengambil keputusan meletakkannya di bangku simpanan mengetahui bahawa ada keperluan memasukkannya kemudian," katanya kepada stesen penyiar DAZN.

"Dia sentiasa bersedia seperti barisan pemain lain. Dia beraksi dengan baik, malah dapat menjaringkan gol tetapi malangnya ia dibatalkan."

Skuad bimbingan Allegri tampak bakal meraih kemenangan selepas Paulo Dybala yang menggalas tugas kapten dan Juan Cuadrado masing-masing meledak gol untuk Juventus mendahului 2-0 pertengahan separuh masa pertama.

Bagaimanapun dua kecuaian dilakukan oleh penjaga gol Juventus, Wojciech Szczesny menyaksikan Udinese berjaya meraih satu mata selepas Roberto Pereyra menyempurnakan sepakan penalti serta gol sumbangan Gerard Deulofeu.

Ronaldo masuk sebagai pemain gantian selepas sejam permainan ketika Juventus mendahului 2-1.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Ogos 2021 @ 8:31 AM