Diego Maradona ketika beraksi di Boca Juniors. FOTO Agensi
Diego Maradona ketika beraksi di Boca Juniors. FOTO Agensi
AFP

Buenos Aires: Pengeluar barangan sukan utama dunia melancarkan kempen mencari 1,703 warga Argentina yang dinamakan sempena ikon bola sepak, Diego Armando Maradona, yang meninggal dunia tahun lalu kerana serangan jantung.

Jenama Jerman, Adidas menawarkan replika jersi percuma tertera nama Maradona bekas pemain Boca Juniors kepada mereka yang lahir dan dinamakan "Diego Armando" pada 1981 iaitu tahun sama pemain legenda itu menang gelaran Argentina bersama kelab gergasi Buenos Aires itu.

Minggu lalu, Boca dan Adidas memperkenalkan corak jersi baharu kelab yang diinspirasi jersi yang dipakai Maradona, yang berusia 21 tahun ketika itu dan rakan sepasukannya 40 tahun lalu.

Tahun itu juga pihak berkuasa mendaftarkan jumlah paling ramai bagi bayi dilahirkan dan dinamakan Diego Armando, menurut Adidas dalam satu kenyataan.

Maradona peminat fanatik Boca selepas persaraannya dan turut memiliki ruang peribadi di Stadium Bombonera.

Dia mengharungi tempoh dua kali beraksi bersama Boca pada permulaan dan penghujung karier bola sepaknya.

Aksi pertama di Boca sudah cukup untuk mencuri perhatian dengan perpindahan ke gergasi Sepanyol, Barcelona pada 1982 dan dua tahun kemudian dia menyertai kelab Itali, Napoli di mana dia menikmati tahun terbaik sepanjang kariernya.

Dia mencetus inspirasi kepada kejayaan Piala Dunia Argentina pada 1986 dan membantu mereka mara ke final empat tahun kemudian, sementara Napoli memenangi hanya dua kejuaraan Serie A ketika Maradona bintang mereka.

Dia menamatkan kariernya di Boca pada 1997 dan empat tahun kemudian kembali ke Bombonera secara rasmi bersara dari bola sepak.

Maradona meninggal dunia kerana serangan jantung pada 25 November 2020 di usia 60 tahun ketika dalam proses pemulihan selepas menjalani pembedahan memindahkan darah beku dari kepalanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Ogos 2021 @ 8:09 AM